Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kula: Mana perlindungan Perkeso untuk suri rumah?
Diterbitkan:  May 8, 2022 2:39 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Kerajaan digesa mempercepatkan pengenalan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada suri rumah bagi memberi perlindungan dan faedah kepada golongan berkenaan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran (gambar atas) berkata Menteri Sumber Manusia M Saravanan telah berkata pada 2021 bahawa tiga juta suri rumah tidak lama lagi akan menikmati perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso, yang merupakan inisiatif yang dicetuskan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Namun, sehingga hari ini, tiada apa yang dilakukan.

“Saya menyeru perdana menteri untuk mempercepatkan pengenalan liputan Perkeso kepada semua ibu di negara ini.

“Semasa pentadbiran PH, draf perundangan telah disiapkan dan akan meliputi berjuta-juta suri rumah.

“Saya boleh katakan bahawa jika PH masih dalam kerajaan, perlindungan dan faedah ini akan sampai kepada semua suri rumah dan ibu,” kata Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun kerajaan sepatutnya melaksanakan inisiatif ini seperti yang dijanjikan, Kulasegaran menyatakan bahawa mereka telah berdiam diri, meski sambutan Hari Ibu hari ini.

Tegasnya, kerajaan harus menyediakan perlindungan kepada suri rumah dan ibu kerana "ibu adalah anugerah terhebat kepada manusia".

Mengimbau kembali mendiang ibunya sendiri, Kulasegaran, yang merupakan bekas menteri sumber manusia, berkata dia tidak akan melupakan pengorbanan yang dilakukan ibunya untuk dirinya dan adik-beradiknya.

Dia berkata ibunya seorang penoreh getah, yang terus bekerja dan menjaga anak-anaknya yang lain ketika mengandungkannya.

“Saya tidak akan pernah tahu kesusahan yang terpaksa dia tanggung untuk keluarga, dia banyak berkorban untuk masa depan anak-anaknya.

“Negara kita akan lebih baik jika meraikan dan melindungi semua ibu. Beri mereka keselamatan yang sepatutnya anda berikan kepada mereka beberapa tahun lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS