Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Polis buat kerja tak penting dengan siasat himpunan Hari Buruh'
Diterbitkan:  May 7, 2022 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyelar tindakan pihak berkuasa polis kerana menyiasat perhimpunan Hari Pekerja yang diadakan baru-baru ini.

Timbalan Ketua PSM S Arutchelvan berkata polis melakuan "kerja tidak penting" dengan menyiasat acara itu.

Ia selepas polis memanggil empat individu, termasuk Arutchelvan, untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini berhubung perhimpunan itu yang diadakan di Kuala Lumpur pada 23 April lalu.

Turut dipanggil adalah penganjur Kohila Yanasekaran, T Mohan Ellen dari PSM Subang dan penyelaras Suaram, Wong Yan Ke.

Mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Saya merasakan bahawa polis mempunyai dua jenis kerja, kerja-kerja penting yang termasuk memerangi jenayah serta kerja-kerja yang tidak penting. Saya panggil ini kerja tidak penting."

"Walaupun saya tidak kisah polis memulakan siasatan selepas orang awam membuat laporan, tetapi hakikat bahawa polis memantau keseluruhan proses dan menyiasat laporan mereka sendiri benar-benar membuang masa, sumber dan wang pembayar cukai, " katanya.

Dia berkata polis telah pun dimaklumkan perhimpunan itu lima hari sebelum ia berlangsung dan diberi taklimat tiga hari selepas makluman itu.

“Pada hari perhimpunan, polis juga turut membantu menjaga lalu lintas,” katanya.

S Arutchelvan

Kata Arutchelvan, keseluruhan soal siasat polis hari ini mengambil masa kira-kira dua jam dan sebanyak 26 soalan diajukan kepada mereka.

"Kami hanya berkata kami akan menjawab soalan-soalan ini di mahkamah," katanya.

Perhimpunan yang lazimnya diadakan pada 1 Mei pada setiap tahun itu diawalkan bagi mengelak bertembung dengan cuti Hari Raya Aidilfitri.

Kira-kira 150 orang dilaporkan mengambil bahagian dalam perhimpunan di hadapan Pasar Seni yang kemudiannya berarak ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Para peserta turut menyampaikan 26 tuntutan yang terkandung dalam Deklarasi 1 Mei 2022.

Tuntutan-tuntutan itu termasuk memastikan pelaksanaan sepenuhnya Gaji Minimum RM1,500 mulai 1 Mei 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS