Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco akan panggil mesyuarat khas tangani isu doktor pelatih
Diterbitkan:  May 6, 2022 2:22 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Exco Kesihatan Pulau Pinang Norlela Ariffin akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri berhubung masalah yang dihadapi doktor pelatih.

Norlela berkata, mesyuarat itu akan diminitkan dan hasil perbincangan akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Kita ingin menangani isu ini secara rasmi dan cari penyelesaian sebenar untuk perubahan sebenar. Bukan penyelesaian sementara (band-aid solution)," katanya dalam kenyataaan hari ini.

Dia berkata, mesyuarat itu akan memanggil house officer (HO) dan doktor pelatih dahulu, sebelum melibatkan pihak hospital dan pegawai jabatan kesihatan.

"Kementerian Kesihatan ada beribu kakitangan yang ikhlas dan bekerja keras yang telah menyelamatkan ribuan nyawa. Saya telah menerima begitu banyak pandangan berharga berkenaan isu yang didepani HO dan doktor pelatih, serta cadangan untuk bagaimana untuk merombak sistem sedia ada.

"Saya harap Kementerian Kesihatan dapat mengubah budaya menyembunyikan semua perkara. Ia amat mengecewakan kerana sukar untuk menembusi 'dinding' untuk mendapatkan kebenaran dan menyelesaikan masalah yang berlaku," tegasnya.

Norlela yang merupakan adun Penanti lantang bersuara dalam isu layanan terhadap doktor pelatih susulan kematian seorang doktor berusia 25 tahun selepas beberapa minggu ditugaskan di Hospital Pulau Pinang.

Doktor itu dipercayai jatuh daripada tingkat 25 apartmen sewanya pada 17 April lalu.

Ia merupakan kematian kedua melibatkan doktor pelatih di hospital itu. Pada Disember 2020, seorang doktor pelatih meninggal dunia tidak lama selepas letak jawatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS