Malaysia harus memainkan peranan serius dengan mengambil tindakan progresif membenarkan penggunaan kanabis dan hemp terutamanya kanabidiol (CBD) bagi tujuan perubatan, kata Senator Ras Adiba Radzi.
Ahli Dewan Negara yang mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) itu berkata kebenaran penggunaan bahan tersebut juga akan meningkatkan akses golongan OKU kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang sejahtera.
Ia selaras dengan Teras Strategik 4 Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022 iaitu meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada golongan itu untuk menjalani kehidupan sejahtera, katanya dalam kenyataan hari ini.
Ras Adiba berkata ia juga selaras dengan komitmen Malaysia kepada Perkara 25 Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya yang menekankan bahawa OKU mempunyai hak untuk menikmati taraf kesihatan tertinggi tanpa diskriminasi atas dasar ketidakupayaan.
“Melalui usaha ini, ia akan membuka sayap baru dalam sektor perubatan yang dapat membantu mengurangkan gejala penyakit seperti kronik, kebimbangan dan sebagainya, yang telah terbukti melalui beberapa kajian saintifik,” katanya.
Ras Adiba berkata kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu merancakkan lagi aktiviti, kempen dan pendidikan kepada orang awam kerana pengetahuan berkaitan penggunaan kanabis masih berada di tahap yang rendah.
Bagi tujuan itu, dia mencadangkan sembilan perkara kepada kerajaan untuk tindakan segera bagi membolehkan kanabis dan hemp diguna pakai dalam sektor perubatan di Malaysia.
Perkara yang dicadangkan adalah mewujudkan Pelan Hala Tuju Kanabis dan Hemp oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kaukus Kanabis Perubatan Parlimen perlu dianggotai pihak berkepentingan seperti aktivis, pertubuhan bukan kerajaan, pakar kanabis serta wakil golongan rentan terutamanya OKU dan warga emas.
Turut dicadangkan adalah supaya hasil kajian impak penanaman kanabis dibentangkan di Parlimen oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta menyegerakan pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membezakan CBD dan tetrahydocannabinol (THC).
Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dicadangkan agar membangunkan teknologi baru melalui aruhan sinaran Gamma bagi menghasilkan variasi baru Cannabis Sativa yang mempunyai kandungan bahan psikoaktif THC rendah, menjadikan penanaman hemp di Malaysia sebagai antara komoditi utama yang mempunyai ciri serupa dengan kenaf dari segi kaedah penanaman dan teknologi pemprosesan fiber hemp.
Perkara lain yang turut dicadangkan adalah menyediakan geran penyelidikan kepada institut dan universiti bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan kajian klinikal, Kementerian Pengajian Tinggi dan Mosti harus bekerjasama dalam mewujudkan kumpulan penyelidikan konsortium yang memberikan fokus kepada penyelidikan kanabis perubatan.
Selain itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga dicadangkan supaya membenarkan lebih banyak industri menjalankan aktiviti penanaman hemp bagi tujuan penyelidikan di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kebanyakan negara barat khususnya Amerika Syarikat kini lebih ke hadapan dalam industri hemp dan kanabis. Banyak kajian saintifik yang dijalankan di negara tersebut terbukti berkesan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, perubatan, farmaseutikal, produk kecantikan dan sebagainya.
“Justeru, saya yakin dengan membenarkan penggunaan CBD dan penanaman kanabis di Malaysia, ia akan membantu antara lain komuniti OKU, pesakit kronik, kanser, dementia, parkinson, sawan, masalah mental dan tekanan emosi,” katanya.
Ras Adiba berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelancongan kesihatan bertaraf dunia turut perlu memberikan penekanan dalam penggunaan kanabis perubatan.
“Bila lagi jika bukan sekarang,” katanya.
-Bernama