Tiga pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan mula dibuka hari ini bagi tujuan komersial dan lawatan sosial.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan Azhar Abd Hamid berkata tiga pintu ICQS tersebut ialah Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.
Azhar berkata individu yang ingin memasuki Thailand dan Malaysia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kedua-dua negara tersebut.
"Semua pengembara sudah boleh masuk dan keluar melalui pintu sempadan bermula pagi ini mengikut SOP yang sudah ditetapkan.
"Selain itu, antara syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) termasuklah pengembara dari Thailand perlu lengkap status vaksinasi dan menyediakan dokumen perjalanan yang lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam Pengarah Imigresen Perlis Khairul Amin Taib berkata pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar turut dibuka hari ini bermula enam pagi hingga 10 malam setiap hari.
-Bernama