Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata para peguam perlu segera bertindak tegas dalam menghadapi serangan terhadap badan kehakiman.
Dia berkata demikian ketika menjelaskan petisyen yang dimulakan olehnya dan lima bekas presiden Badan Peguam Malaysia menyeru Majlis Peguam untuk menggerakkan bantahan perarakan "Berjalan Demi Keadilan" (Walk for Justice) sama seperti yang dilakukan pada 2007 apabila muncul dakwaan penetapan kehakiman.
“Petisyen ini dilancarkan untuk menggesa Majlis Peguam mengadakan tindakan oleh para anggota peguam secepat-cepatnya.
"Ada ketikanya memerlukan maklum balas segera dan tegas daripada peguam dan ini adalah salah satu darinya," katanya kepada Malaysiakini.
Ambiga (gambar judul, atas), bercakap atas kapasiti peribadinya, berkata usaha sedang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjejaskan badan kehakiman.
“Benteng terakhir kedaulatan undang-undang dan demokrasi sedang diserang.
"Kita tidak boleh berdiam diri manakala pihak tertentu menggunakan sindiran dan tuduhan yang tidak boleh dipercayai untuk menggugat badan kehakiman hanya kerana mereka tidak berpuas hati dengan penghakiman," katanya.
Minggu lalu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (gambar, bawah) berkata kritikan terhadap badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.
Ini di tengah-tengah siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas sebuah blog berkaitan politik menyiarkan dakwaan menuduhnya mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan puncanya.
Nazlan, ketika berkhidmat sebagai hakim mahkamah tinggi, telah mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa.
Najib sedang merayu hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
'Institusi lain gagal'
Ambiga berkata badan kehakiman kini menjadi satu-satunya harapan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan.
“Mereka ialah orang yang berdiri di antara rakyat dan kekuatan mereka yang memegang dan menggunakan kekuasaan.
"Institusi lain nampaknya mengecewakan rakyat dalam hal ini. Oleh itu, petisyen ini digerakkan," kata peguam hak asasi manusia itu.
Menurut Ambiga lagi, golongan peguam perlu memikul tanggungjawab jika mereka gagal bertindak terhadap cubaan untuk menjejaskan badan kehakiman itu.
"Jika kita tidak menghentikannya sekarang, kita tidak ada orang lain yang perlu dipersalahkan selain diri kita sendiri kerana tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan serangan terhadap badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang ini.
"Sebarang tindakan yang menjejaskan Badan Kehakiman adalah sesuatu yang tidak akan dapat dipulihkan oleh negara.
"Serangan ini dilakukan oleh segelintir orang, yang tidak mempunyai kredibiliti dan pemahaman tentang kedaulatan undang-undang, dan mereka tidak mengambil kira kerosakan yang akan ditimbulkan kepada negara.
"Mereka takut dengan kebebasan Badan Kehakiman. Kita mesti melindunginya," katanya.
Ambiga memimpin kira-kira 2,000 peguam pada 2007 untuk membantah dakwaan penetapan kehakiman.
Ini selepas rakaman audio dibocorkan yang menunjukkan peguam yang kini telah diberhentikan VK Lingam bermegah tentang bagaimana dia dan ahli politik dapat mempengaruhi pelantikan hakim.
Suruhanjaya siasatan diraja mengesahkan kesahihan rakaman itu dan memberi tumpuan kepada penghakiman masa lalu yang boleh dipersoalkan.
Skandal itu akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.