Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas presiden Badan Peguam ajak berarak pertahan kehakiman
Diterbitkan:  May 4, 2022 8:20 PM
Dikemaskini: May 5, 2022 3:11 AM

Sekumpulan bekas presiden Badan Peguam Malaysia menyeru satu lagi perarakan menuntut keadilan (Walk for Justice) di tengah-tengah dakwaan ugutan terhadap kehakiman.

Melalui petisyen dalam talian untuk peguam, mereka menyeru Majlis Peguam menganjurkan bantahan untuk menghantar mesej yang jelas kepada mereka yang "berusaha campur tangan" dalam badan kehakiman.

“Pihak Badan Peguam Malaysia terkenal dengan keberanian memenuhi tujuannya di bawah Seksyen 42 Akta Profesion Undang-undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Peristiwa baru-baru ini menunjukkan sikap pihak tertentu yang tidak mengendahkan prinsip mulia kebebasan Badan Kehakiman dengan tindakan yang hanya boleh disifatkan sebagai ugutan terhadap institusi penting ini.

"Sudah tiba waktunya untuk Badan Peguam sekali lagi bangkit dan tanpa gentar mempertahankan institusi khakiman. Sudah sampai masanya untuk berarak," kata petisyen itu.

Penganjur petisyen itu ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee dan Steven Thiru.

Pada 2007, kira-kira 2,000 peguam di bawah pimpinan pengerusi Majlis Peguam ketika itu Ambiga Sreenevasan, berarak menentang dakwaan campur tangan kehakiman.

Ini selepas rakaman audio dibocorkan menunjukkan peguam VK Lingam yang kini diberhentikan bermegah mengenai mempengaruhi pelantikan hakim.

Suruhanjaya siasatan diraja mengesahkan kesahihan rakaman itu dan memberi tumpuan kepada penghakiman masa lalu yang boleh dipersoalkan.

Skandal itu akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata kritikan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan.

Kenyataan ini di tengah-tengah siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas sebuah blog berkaitan politik menyiarkan dakwaan menuduh dia mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Mohd Nazlan, ketika berkhidmat sebagai hakim mahkamah tinggi, telah mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Bekas pembantu Najib, Isham Jalil, yang juga ketua penerangan BN Selangor, menyangkal Tengku Maimun, berkata hakim juga perlu melalui proses yang sewajarnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS