Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan berhubung kes kematian seorang doktor pelatih yang ditemui jatuh dari bangunan kediamannya.
Sambil mengucapkan takziah, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin, dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa mangsa adalah kakitangan seorang pegawai perubatan siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada awal bulan lalu.
“Mendiang telah ditemui jatuh dari kediamannya pada 17 April lalu.
"Kes ini adalah bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengarahkan bedah siasat dijalankan. Bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik, HPP. Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal.
"Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaikkan di laman Facebook JKN, hari ini.
Dr Ma'arof juga memberi jaminan bahawa pihaknya dan hospital Pulau Pinang akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis dalam siasatan selanjutnya.
Sehubungan itu, dia memohon kerjasama semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih kerana kes masih dalam siasatan serta bagi menghormati keluarga mangsa.
Sebelum ini, exco kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin juga menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia serta JKN supaya memberi penjelasan berhubung kematian itu.
Katanya, doktor pelatih di Malaysia telah lama tertakluk kepada keadaan kerja "tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan” serta perlu siasatan menyeluruh memandangkan ia adalah yang kedua membabitkan seorang doktor pelatih dalam tempoh kurang dua tahun.
Dilaporkan semalam seorang doktor pelatih meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di Georgetown, Pulau Pinang.
Kematian pegawai perubatan itu, hanya beberapa minggu selepas dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang, telah mencetuskan bantahan daripada rakan sekerjanya, yang menggesa pihak berkuasa untuk tidak menanggapi perkara ini sebagai isu "biasa".
Sebelum ini, dilaporkan seorang lagi doktor pelatih yang meletak jawatan di hospital sama telah meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2020.