Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gesa Asean kerjasama k'jaan buangan - Myanmar kecam Malaysia
Diterbitkan:  May 3, 2022 4:32 PM
Dikemaskini: May 4, 2022 12:49 AM

Junta tentera Myanmar mengecam Putrajaya kerana mencadangkan Asean untuk terlibat dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang dipilih oleh rakyat Myanmar sebelum rampasan kuasa.

Kementerian Luar Myanmar membantah cadangan yang dibawa oleh Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan menyifatkan kenyataannya sebagai "tidak bertanggungjawab dan melulu".

"Kenyataan sedemikian boleh bersubahat dengan terorisme dan keganasan di negara ini, menghalang usaha anti-keganasan Kerajaan Myanmar dan melanggar perjanjian antarabangsa yang berkaitan dengan memerangi keganasan," kata junta seperti dipetik Al Jazeera.

Jeneral yang merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih telah mengisytiharkan NUG dan mana-mana kumpulan yang dikaitkan dengannya sebagai "persatuan yang menyalahi undang-undang" dan "kumpulan pengganas."

Pada 1 Mei, Saifuddin berkata Malaysia akan mencadangkan supaya Asean mengadakan hubungan tidak rasmi dengan NUG.

Cadangan itu dibuat berikutan tiada kemajuan sepanjang tahun lalu mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Asean (5PC) bagi mencari penyelesaian kepada kebuntuan politik di negara itu, tambah Saifuddin.

Ia satu daripada tiga cadangan yang akan dibawa Malaysia ke Mesyuarat Menteri Luar Asean pada 5 Mei yang akan diadakan melalui sidang video.

Asean blok ekonomi-politik

Dua lagi cadangan adalah untuk menggandakan bantuan kemanusiaan ke Myanmar dan mengukuhkan kedudukan dan fungsi utusan khas Asean ke Myanmar.

Saifuddin juga berkata beberapa anggota Asean mempunyai keraguan tentang lawatan Hun Sen pada 7 Jan ke Myanmar ketika mempengerusikan blok itu, yang berisiko ditafsirkan sebagai pengiktirafan Asean terhadap jeneral.

Saifuddin mencadangkan Hun Sen sepatutnya mendapatkan pandangan daripada rakan sejawatan Asean terlebih dahulu.

Kenyataannya itu menimbulkan kritikan apabila Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menegur Saifuddin bersikap "sombong" dan tidak sopan.

Tindakan tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih di Myanmar tahun lepas telah menjadi halangan besar bagi Asean kerana ia berusaha untuk meningkatkan profil antarabangsanya sebagai blok ekonomi dan politik yang pelbagai, bersatu dan berkesan.

Tetapi timbul perbezaan dalam Asean mengenai cara terbaik untuk menangani Myanmar.

Di bawah pengerusi Brunei, Asean membuat langkah mengejut lewat tahun lalu dengan menghalang junta daripada menyertai mesyuarat penting persatuan negara Asia Tenggara itu.

Ini kerana kegagalannya melaksanakan "konsensus" lima perkara Asean yang dipersetujui untuk menamatkan konflik pasca rampasan kuasa di Myanmar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS