Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Hormati kebebasan sebenar media’
Diterbitkan:  May 3, 2022 12:50 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia hari ini, semua pihak diminta menilai semula kebebasan sebenar media di negara ini.

Bagi Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai, tanggal 3 Mei adalah peringatan kepada kerajaan tentang keperluan untuk menghormati komitmen terhadap kebebasan media.

“Ia adalah peluang meraikan prinsip asas kebebasan akhbar; menilai keadaan kebebasan akhbar di seluruh dunia.

Ia juga bagi mempertahankan media daripada serangan terhadap kebebasan mereka,” kata ahli parlimen DAP itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Wong juga berkata, 3 Mei adalah sebagai hari memberi penghormatan kepada wartawan yang kehilangan nyawa mereka dalam menjalankan tugas.

Sementara itu, portal Utusan Malaysia memetik ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai berkata, kemerosotan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 adalah paling teruk pernah berlaku.

Menurutnya, Malaysia kini terletak di antara Congo (118) dan Nigeria (120).

“Baru-baru ini, seorang penyampai berita dari Astro Awani dikatakan akan disiasat berhubung pandangan ‘otak di lutut’ yang dilemparkannya apabila melaporkan ada peniaga kecil di Kelantan dikompaun RM50,000.

“Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku, saya percaya ada banyak hal yang lebih penting perlu disiasat,” kata ahli parlimen PKR itu.

Malaysia jatuh 18 tangga (119) dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 berbanding tahun 2020 (101), sekali gus mencatatkan kemerosotan paling teruk dari tahun ke tahun.

Indonesia sebaliknya naik enam tangga ke-113 dan merupakan satu-satunya negara di rantau ini merekodkan kedudukan lebih baik berbanding Malaysia.

Menurut Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), antara faktor utama menyebabkan kemerosotan itu termasuk undang-undang mengekang berita palsu melalui Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang “membenarkan kerajaan untuk menentukan kebenarannya sendiri”.

Turut mempengaruhi kemerosotan tersebut, kata RSF ialah beberapa akta yang sebagai didakwa menyekat kebebasan media termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS