Beberapa menteri Kabinet hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi catatan di akaun Twitter rasminya menyeru orang ramai agar memaknai ketibaan Syawal dengan memperbanyakkan pujian ke hadrat Allah SWT.
“Ramai bertugas pada 1 Syawal. Jauh dari anak isteri dan insan tercinta,” kata Hishammuddin.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar pula, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung.
“Saya dan keluarga mengambil kesempatan memohon ribuan ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa terlanjur bicara dalam urusan seharian kita bersama. Saya doakan semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT selalu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba pula mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard semasa Fasa Peralihan ke Endemik ini dengan mengambil langkah-langkah kawalan seperti menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka.
“Semoga Aidilfitri kali ini memberi seribu satu senyuman serta menjadi penyambung puak sesama kita tidak mengira bangsa dan agama. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin,” kata beliau melalui akaun Twitter miliknya.
Turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya ialah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Di PUTRAJAYA, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata amalan kunjung-mengunjung sesama kaum keluarga, sanak-saudara dan rakan taulan merupakan amalan hidup masyarakat yang perlu disuburkan dalam Keluarga Malaysia.
Beliau berkata momen perpaduan itu akan menjadi antara detik indah yang akan dikenang selain dapat mengeratkan lagi ukhwah dan silaturahim sesama masyarakat dan menjadi asas kepada kekuatan Keluarga Malaysia.
Halimah berkata ketibaan Syawal kali ini amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam negara ini dengan sambutan yang lebih bermakna setelah dua tahun negara berdepan wabak Covid-19.
“Dalam kita meraikan Syawal ini, aspek keselamatan dan kesihatan perlu sentiasa diberi keutamaan. Amalkan gaya hidup dan pemakanan yang betul serta sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling.
“Mudah-mudahan ikatan silaturahim Keluarga Malaysia yang terpateri sejak sekian lama akan sentiasa kekal kukuh dan utuh serta dapat mengecap suasana penuh muhibah dan harmoni,” katanya dalam kenyataan di sini sempena Hari Raya Aidilfitri.
- Bernama