Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Pejuang, Muda gesa k'jaan tangani isu pekerja
Diterbitkan:  May 1, 2022 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Sayap pemuda parti Pejuang dan parti Muda menggesa kerajaan menangani pelbagai isu pekerja, sempena Hari Pekerja Sedunia hari ini.

Antara isu yang dibangkitkan oleh mereka - dalam kenyataan berasingan - ialah gaji minimum, lebih banyak peluang pekerjaan bagi tenaga mahir, keselamatan pekerjaan, perlindungan sosial pekerja wanita serta kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

Walaupun gaji minimum bulanan baharu RM1,500 amat dialu-alukan, Pejuang berkata gaji minimum untuk profesional seperti jurutera, peguam dan akauntan juga perlu dikaji semula.

"Isu ‘jurutera miskin’ masih boleh menjadi tajuk utama akhbar selepas negara mencapai kemajuan yang pesat dalam pelbagai bidang," keluh Exco Pekerjaan dan Modal Insan Pemuda Pejuang Mohd Akmal M Yusoff dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, terdapat juga keperluan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan, dengan peningkatan bilangan graduan baru dalam pelbagai industri.

Dia turut menggesa kerajaan supaya lebih mesra dengan syarikat multinasional bagi membantu meringankan isu ini.

Ketika negara sedang beralih ke fasa endemik Covid-19, Akmal berkata keselamatan pekerjaan telah menjadi isu serius kerana pekerja dijangka melakukan lebih daripada gaji mereka.

Tambahnya, situasi itu akan memberi tekanan kepada pekerja dan ia seterusnya akan menjejaskan produktiviti pekerja secara amnya.

Katanya lagi, kerajaan juga harus menguatkuasakan undang-undang pekerja dengan lebih serius, khususnya dalam isu seperti dipecat tanpa sebab, tidak menerima gaji tepat pada masanya dan sebagainya.

Perhatian tambahan juga harus diberikan kepada kes di mana pekerja tidak dapat mempertahankan hak mereka kerana kekurangan dana untuk mengupah peguam untuk memperjuangkan mereka, katanya.

"Kewujudan akta tertentu yang melindungi hak pekerja tidak memberi makna apa-apa tanpa penguatkuasaan yang berkesan," katanya.

Sementara itu, biro pekerja Muda berkata walaupun kerajaan perlu meningkatkan undang-undang "kuno" berkaitan pekerja, undang-undang baru juga mesti diluluskan untuk melindungi sumber pendapatan pekerja.

“Memandangkan kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang pekerja di negara ini diperbaiki, hak pekerja mesti sentiasa dilindungi dan diberi keutamaan.

"Kami telah melihat berapa kali isu keselamatan dan kesihatan pekerja diabaikan oleh pemimpin ini,” kata mereka.

Justeru, mereka menggesa kerajaan memastikan dasar perlindungan sosial dihormati dan dikuatkuasakan dengan betul, termasuk insurans pengangguran dan pencen.

Kata mereka, ia bagi memastikan individu yang tidak mempunyai pekerjaan juga dapat menjalani kehidupan yang bermaruah.

Selain kerajaan, mereka berkata kesatuan sekerja dan syarikat juga mesti terus bekerjasama.

“(Mereka mesti) membantu membincangkan isu pekerjaan dan pekerja malah mengadakan perbincangan terbuka yang boleh membantu membawa pemahaman yang lebih baik tentang hak pekerja secara amnya di tempat kerja mereka,” kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS