Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MIC Perak gesa BN serah balik kerusi tradisi
Diterbitkan:  Apr 30, 2022 4:37 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Pemuda MIC Perak menuntut Barisan Nasional (BN) supaya mengembalikan kerusi tradisi parti berkenaan di negeri itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda MIC negeri Thiagaseelan Ganesan (gambar, judul) berkata bahawa BN perlu memahami paradigma politik terkini di Perak khususnya dalam kalangan masyarakat kaum India yang memerlukan wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Siapa yang akan menjadi suara atau wakil kaum India di barisan exco negeri Perak jika MIC terus diberi kerusi-kerusi lemah untuk ditandingi. Sudah tiba masanya BN untuk mengembalikan kerusi-kerusi tersebut kepada MIC.

"Keputusan pilihan raya Melaka dan Johor merupakan satu indikator yang baik di mana 60-70 peratus pengundi India telah kembali menyokong BN.

"Kerusi-kerusi tradisional MIC juga mempunyai peratusan pengundi India yang dapat menentukan kemenangan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Secara tradisi, MIC bertanding di empat kerusi DUN Sungkai, Behrang, Hutan Melintang dan Pasir Panjang tidak dapat mempertahankan kesemua empat kerusi menang pada 2004.

Pada 2013, MIC bertanding di DUN Buntong, Jelapang dan Hutan Melintang tetapi kalah kesemua kerusi itu.

Parti komponen BN itu dalam PRU14 sekali lagi tewas di DUN Buntong, Sungkai dan Jelapang.

"Kerusi-kerusi seperti Behrang, Hutan Melintang dan Pasir Panjang merupakan kerusi-kerusi tradisional MIC sehingga tahun 2004.

"Oleh kerana MIC gagal mempertahankan kerusi-kerusi tersebut dalam PRU 2008 (yang turut menyaksikan parti-parti komponen lain juga hilang banyak kerusi).

"Pada tahun 2013 dan 2018 kerusi-kerusi tersebut telah ditukar kepada Umno dan MIC diberikan kerusi-kerusi yang lemah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS