Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 89,976 baki tiket perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih tersedia bagi menampung permintaan rakyat untuk pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata baki tiket itu melibatkan perkhidmatan tren elektrik (ETS), ETS tambahan (KL Sentral-Padang Besar), KTM Intercity melibatkan Ekspres Rakyat Timuran, Ekspres Selatan dan Shuttle Timuran serta Ekspres Khas Keluarga Malaysia pada 23 April hingga 8 Mei ini.

Wee berkata bagaimanapun tren khas Ekspres Keluarga Malaysia dari KL Sentral ke Tumpat, Kelantan telah habis dijual termasuk 180 tempat duduk tambahan.

“Bagi laluan Tumpat-KL Sentral pada 7 Mei 2022 hanya tinggal 246 tempat duduk superior,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan pek hari raya kepada penumpang KTMB di Stesen KL Sentral hari ini.

Wee berkata jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan ialah 244,502 dan setakat ini, sebanyak 154,526 telah dijual.

“Ada baki 89,976 tiket dengan keseluruhan peratus yang terjual ialah 63 peratus (bagi semua perkhidmatan KTMB di atas),” katanya.

Wee turut menasihati penumpang untuk merancang perjalanan sebaiknya supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya merayu kepada mereka yang nak balik ke kampung, kena tiba lebih awal (dari masa kereta api yang ditetapkan) kerana tren ini kita tidak boleh lengahkan untuk sesiapa. Waktunya tepat disebabkan sistem,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS