Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banyak negara raya Isnin, tapi Malaysia mungkin Selasa - mufti Perlis
Diterbitkan:  Apr 29, 2022 3:26 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini mungkin jatuh pada Selasa depan, berbeza dengan kebanyakan negara Islam lain yang menyambutnya sehari lebih awal, kata mufti Perlis.

Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia mungkin demikian kerana Malaysia menggunakan kriteria baru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (Mabims).

“Jika mengikut kriteria kebolehnampakan anak bulan yg digunakan sebelum ini, kemungkinan besar Isnin hari raya. Demikianlah kebanyakan negara Umat Islam. 

“Jika pakai kriteria baru Jakim / Mabims, mungkin tak nampak. Maka, kita mungkin raya Selasa,” katanya di Twitter hari ini tanpa butiran lanjut.

Berpandukan kriteria baru Mabims, hilal ditentukan mengikut altitud 3 darjah dan longitud 6.4 darjah.

Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih. Tarikh Aidilfitri akan diumumkan selepas itu.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 22 April memaklumkan bahawa Majlis Raja-raja bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Mohd Asri Zainul Abidin

Asri ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia tidak mempertikaikan kaedah Jakim.

“Saya tidak pertikai. Saya menjawab soalan tentang kenapa ada perbezaan dalam perhitungan.

“Perlis kita ikut keputusan bersama dalam menentukan hari raya,” katanya.

Berkaitan perbezaan kaedah lama dan baru, ia hanya melibatkan perkara teknikal.

"Tiada siapa boleh menyatakan kaedah lama atau baru yang lebih patut dipakai melainkan setelah dinilai oleh pakar falak.

"Perbezaan dari sudut kriteria darjah. Dari sudut ketinggian, jarak lengkung dan ketinggian," katanya.

Bagaiamanapun, Asri berkata rakyat di negara ini hendaklah memakai apa yang diputuskan di Malaysia.

"Pun begitu, para pakar mempunyai ruang menuntut kerajaan menyemak hal itu pada masa depan," tambahnya.

‘Perlis, Langkawi penuhi kriteria baru’

Sementara itu, di Indonesia, Pusat Sains Antariksa Badan Riset dan Inovasi Nasional (Brin) dilaporkan berkata keadaan hilal di Indonesia memenuhi kriteria ditetapkan Mabims kerana berada pada sudut 3.75 darjah (di Merauke) hingga 5.55 darjah (Sabang).

"Sekiranya hilal dapat dilihat di Kota Sabang, Banda Aceh, dan Jantho, ia bermakna Indonesia akan menyambut 1 Syawal pada 2 Mei ini.

"Namun, ia mungkin tidak sama dengan negara jiran seperti Malaysia, Brunei dan Singapura yang bakal menyambut 1 Syawal pada 3 Mei nanti," kata peneliti Brin Andi Pangerang.

Katanya, antara ketiga-tiga negara Mabimbs, hanya Malaysia berpotensi menyambut lebaran pada hari sama dengan Indonesia kerana Langkawi dan Perlis memenuhi kriteria baru itu.

Indonesia akan turut melihat anak bulan Syawal pada 1 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS