Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amah kena bunuh berkaitan bekas finalis Masterchef adalah warga Malaysia

Sumber mengesahkan Nur Afiah Daeng Danim, 28, pembantu rumah yang ditemui mati oleh majikannya di unit pangsapuri mereka di Kota Kinabalu Disember lalu adalah seorang wanita warga Malaysia berasal dari Sabah

Aktivis berkata Afiah berkemungkinan besar merupakan pembantu rumah warga Malaysia pertama yang meninggal dunia akibat keadaan mencurigakan, dalam tempoh lima dekad lalu.

Tidak jelas apakah ibu bapa wanita itu merupakan warganegara Indonesia, namun sumber mengesahkan mereka berketurunan Indonesia.

Kes itu pantas mendapat perhatian media di Malaysia dan Indonesia apabila Nur Afiah pada mulanya dipercayai merupakan warga Indonesia, manakala majikannya ialah bekas finalis MasterChef, Etiqah Noorashikeen Mohd Sulong, 33.

Selepas semakan dengan pihak berkuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah, disahkan bahawa Nur Afiah sebenarnya merupakan warganegara Malaysia dengan kod “12” pada kad pengenalannya yang menunjukkan tempat kelahirannya adalah di Sabah.

Undang-undang Malaysia tak lindungi pembantu rumah

Pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene A Das mengulangi gesaan supaya undang-undang berasingan digubal untuk pembantu rumah memandangkan semua peraturan dan dasar semasa di Malaysia tidak melindungi pekerja dalam sektor ini, walaupun mereka adalah rakyat Malaysia.

“Oleh kerana sektor ini adalah sektor tidak formal, kekurangan perlindungan atau mekanisme pemantauan telah menyebabkan suasana kerja yang lebih kasar.

“Menukar perkataan pembantu rumah kepada pekerja dalam Akta Pekerjaan tidak mencukupi.

"Kita memerlukan peraturan yang kukuh dan pelaksanaan undang-undang yang lebih baik yang melindungi pembantu rumah dengan lebih baik," katanya.

Wakil Migrant Care, Alex Ong berkata undang-undang mesti terpakai sama ada mangsa warga tempatan atau warga asing dan berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi mendapatkan keadilan kepada pembantu rumah berkenaan.

Pasangan hadapi tuduhan membunuh

Dilaporkan bahawa Etiqah dan suaminya Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 40 , tinggal di Menara Amber, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang, di mana kesalahan didakwa berlaku antara 10 dan 13 Disember.

Pasangan itu juga dilapor mendakwa menemui Nur Afiah telah meninggal dunia sekembalinya dari bercuti pada 13 Disember.

Bagaimanapun, kedua-duanya ditahan pada hari berikutnya dan didakwa kerana membunuh wanita berkenaan pada 29 Disember di mahkamah majistret Kota Kinabalu.

Akhbar New Straits Times melaporkan mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara kes itu masih dalam siasatan, Etiqah berjaya mendapatkan ikat jamin pada 26 April lalu apabila Mahkamah Rayuan membenarkanya kali kedua untuk diikat jamin.

The New Straits Times melaporkan pada 31 Mac bahawa permohonan ikat jamin Etiqah telah ditolak oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amelati Parnell.

Portal berita itu melaporkan prosiding pada Selasa dijalankan melalui zoom dari Putrajaya dengan Hakim Lee Swee Seng, Supang Lian dan Gunalan Muniandy sebulat suara memutuskan untuk memberikan jaminan kepada Etiqah .

Ibu kepada anak autistik kembar dibenarkan ikat jamin

Dilaporkan mahkamah mendapati terdapat merit dalam permohonan di bawah keadaan khas yang menjadikan ini kes kes kedua di Sabah di mana ikat jamin diberikan bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu Malaysiakini bahawa mahkamah mendapati merit dalam permohonan dalam keadaan khas yang mewajarkan penggunaan budi bicara untuk memberikan jaminan sementara menunggu pertuduhan di Mahkamah Tinggi.

Jelasnya, ikat jamin dibenarkan mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah yang memberi jaminan kepada mereka yang berumur bawah 16 tahun, wanita atau orang kurang upaya.

Jelas Mokhtar, Etiqah merupakan seorang wanita dan mempunyai anak yang memerlukan perhatian khusus.

Laporan sebelum ini juga mendedahkan bahawa ibu kepada tiga anak itu mempunyai anak kembar yang kedua-duanya menghidap autisme.

“Ikat jamin ditetapkan RM30,000 untuk didepositkan di Mahkamah Majistret dengan seorang penjamin warga tempatan.

“Dia juga perlu menyerahkan pasport dan semua dokumen perjalanannya kepada Mahkamah Majistret.

“Syarat jaminannya juga memerlukan dia melaporkan diri di ibu pejabat polis (IPD) Penampang pada Isnin pertama setiap minggu selewat-lewatnya jam 12 tengah hari,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS