mk-logo
Berita
'Elak pengguna ganja ke tali gantung, pinda undang-undang sekarang'
Diterbitkan:  Apr 28, 2022 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Ganja perubatan perlu dibenarkan segera dan tidak menjadi jenayah demi menyelamatkan pengguna daripada hukuman gantung, kata Adun Kebun Bunga PKR Jason Ong.

Mengulas perbincangan positif mengenai perkara itu antara Kaukus Ganja Perubatan parlimen dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dia berkata mereka yang mahu menggunakan ganja atas sebab kesihatan akan berdepan hukuman mati.

Oleh yang demikian, katanya pindaan segera perlu dibuat terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA) untuk memastikan hukuman mati tidak terpakai bagi pengguna ganja perubatan.

Selain itu, Ong turut menggesa supaya penggunaan ganja untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi jenayah.

Dia berkata undang-undang berkenaan perlu dipinda supaya farmasi diberi lesen untuk menjual ganja kepada mereka yang mempunyai preskripsi kesihatan.

Adun Kebun Bunga PKR Jason Ong.

Di bawah DDA, individu yang memiliki sekurang-kurangnya 200 gram ganja dianggap mengedar dadah itu dan berdepan hukuman mati.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, keperluan rakyatnya mesti diutamakan dan melalui pindaan ini, banyak nyawa yang tidak berdosa akan diselamatkan daripada tali gantung.

"Umum mengetahui bahawa 'raja dadah' sentiasa berjaya mengelak pihak berkuasa, dan keldai dadah dan mereka yang tidak penting kepada masyarakat yang terpaksa berhadapan dengan tali gantung," kata Adun PKR itu.

"Dengan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan terhadap kambing hitam ini, keputusan yang boleh diramalkan ialah keldai dadah ganja dan ketum tidak lagi tinggi permintaan kerana tiada hukuman mati yang tergantung di atas kepala mereka."

Jelasnya, menormalkan penggunaan ganja perubatan tidak bermakna semua masyarakat akan menjadi pengguna ganja.

"Dengan faedah ganja dan ketum mengatasi aspek negatif, ini berpotensi menjadi tanaman seterusnya yang membawa manfaat ekonomi yang besar kepada negara," katanya.

Dalam kes berprofil tinggi membabitkan ganja perubatan, Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, menghadapi pertuduhan mengedar 77.84 kilogram ganja.

Veteran tentera itu, yang menggunakan kerusi roda, ditangkap kerana menggunakan ganja untuk merawat kansernya.

40 negara sudah halalkan

Pada 12 April, Kaukus Perubatan Ganja dwi-partisan berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi respons positif kepada perbincangan yang tertumpu kepada industri hem, ganja perubatan dan ketum.

"Perdana menteri telah memberi respons yang positif dan isu-isu berkaitan industri ini akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat kabinet," kata kaukus itu.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Kaukus itu berkata industri ganja perubatan bernilai RM60 bilion setahun dan lebih 40 negara telah menghalalkan ganja perubatan, termasuk negara jiran Thailand.

Kaukus berkenaan juga membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Hujung Mac lalu, komposer dan penyanyi nasyid Yasin Sulaiman ditahan bersama pokok ganja dan dituduh mengedar dadah.

Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman, 46, didakwa mengedar ganja dianggarkan seberat 214 gram yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Penggunaan ganja diharamkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1954 manakala ketum dikawal di bawah Akta Racun 1952.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS