Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Kami ada kuasa siasat pegawai awam, termasuk hakim
Diterbitkan:  Apr 28, 2022 12:47 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan mereka mempunyai kuasa menyiasat  pegawai badan awam, termasuk hakim.

Penegasan itu dibuat setelah suruhanjaya itu dikritik kerana menyiasat hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas dakwaan mempunyai kekayaan yang tidak jelas sumber.

Siasatan itu dibuat susulan dakwaan dalam portal kontroversi Malaysia Today milik penulis blog yang berpangkalan dari luar negara Raja Petra Kamaruddin.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata mereka diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah bawah Akta SPRM 2009.

Katanya, pegawai badan awam termasuk anggota pentadbiran, anggota parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri serta hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

“Berdasarkan prosedur, suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang telah dibuat kepada SPRM melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasanya,” kata SPRM.

Katanya, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mejutsukan sama ada pendakwaan akan dibuat.

“SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian,” katanya.

“Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27  April 2022. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam.”

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

SPRM juga berkata apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

“Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Selain ahli politik pembangkang, Badan Peguam Malaysia turut mengkritik siasatan itu atas alasan melanggar doktrin pengasingan kuasa dan menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Presidennya Karen Cheah Yee Lynn berkata ada mekanisme bagi menangani isu itu dan “sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab”  menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu. Najib sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS