mk-logo
Berita
Hakim disiasat: Majlis Presiden PH ingatkan k'jaan tentang MOU
Diterbitkan:  Apr 28, 2022 10:25 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Susulan isu dakwaan yang dikaitkan dengan badan kehakiman negara, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini tampil mengingatkan kerajaan persekutuan berhubungan kandungan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani mereka tahun lalu.

Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan apa yang berlaku dalam beberapa hari mutakhir ini sebagai agak keterlaluan.

Justeru PH menyokong penuh kenyataan tersebut dan mengingatkan bahawa Perkara 4.1 di dalam MOU berkenaan menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan persekutuan perlu memastikan kebebasan badan kehakiman sentiasa terlaksana.

"Maka PH mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman.

"Oleh itu, kami menggesa agar kerajaan persekutuan memastikan MOU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman," kata kenyataan bersama yang di tandatangani pimpinan tertinggi PKR, Amanah, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu.

Semalam media melaporkan Tengku Maimun berkata meskipun hakim tertakluk kepada kritikan awam dan memikul tanggungjawab memberikan perkhidmatan terbaik namun tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap mereka serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.

Katanya, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.

Jelasnya lagi, sejak kebelakangan ini mahkamah telah menangani kes berprofil tinggi serta membabitkan kepentingan awam, justeru menjadi lumrah buat hakim untuk menerima kritikan serta tuduhan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata apa yang berlaku baru-baru ini berhubung tuduhan dilemparkan terhadap hakim dan badan kehakiman, pada pandangannya, adalah agak keterlaluan.

Isu itu muncul selepas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali - yang mendengar kes Najib Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd - membuat laporan polis berhubung laporan sebuah blog.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 April lalu mengesahkan mereka sedang menyiasat Mohd Nazlan.

Kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, siasatan tersebut adalah prosedur biasa setiap kali ada laporan dibuat.

Ia kemudian mengundang kritikan pelbagai pihak ke atas SPRM sendiri dengan mereka mengaitkan isu pemilikan saham syarikat senaraian awam Azam yang dipertikaikan.

PH menegaskan, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS