Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis kesan lelaki lolos dari lokap
Diterbitkan:  Apr 27, 2022 9:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Polis sedang mengesan seorang tahanan lelaki yang meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, dekat George Town tengah malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki itu, Azizi Mohammad Hassan, 33, ditahan atas kesalahan dadah di Jelutong di George Town pada 20 April lepas dan disedari meloloskan diri dari lokap kira-kira 12 tengah malam.

"Lelaki itu (Azizi) sedang menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Ekoran itu, polis melancarkan operasi mengesannya dan kami juga menahan enam anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang sedang bertugas di lokap berkenaan ketika lelaki tersebut meloloskan diri dari situ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jelajah Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kontinjen Pulau Pinang di Bazar Ramadan Bayan Baru dekat George Town hari ini.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu termasuk sekiranya terdapat unsur kecuaian atau sebagainya dan enam anggota berusia 20-an hingga 30-an tersebut kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata seorang remaja perempuan etnik Rohingya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ketika melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, di Kedah 20 April lepas meninggal dunia pada 10.39 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Selain remaja perempuan berusia 14 tahun itu, seorang lagi lelaki etnik Rohingya berusia 21 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut sedang menerima rawatan di HSJ dan dia dilaporkan stabil," katanya.

Beliau berkata polis juga telah merekodkan keterangan pemandu kereta berusia 53 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu dan beberapa saksi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan.

Menurut Mohd Shuhaily, polis sedang mengesan 61 lagi warga Rohingya yang melarikan diri dan tidak menolak kemungkinan mereka telah asimilasi dalam komuniti dengan mendapat bantuan dari segi makanan, pakaian serta tempat tinggal daripada etnik mereka yang terdapat di negeri ini dan Kedah.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Mohd Shuhaily berkata pihaknya menjangkakan 3.6 juta kenderaan akan menggunakan jalan dan lebuh raya untuk pulang ke negeri itu, Kedah serta Perlis bermula Jumaat ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dijangkakan kira-kira satu juta kenderaan akan masuk ke bahagian pulau negeri itu sekali gus berlaku peningkatan mendadak kenderaan di jalan raya yang boleh berlaku kesesakan.

Katanya antara jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan kenderaan dan kawasan kerap kemalangan ialah Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar (Seberang Perai Utara), Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah), Jalan Besar Simpang Ampat (KM12-KM32), Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu-Jalan Ayer Itam (Timur Laut), Jalan Ayer Itam-Paya Terubong (Timur Laut) dan Jalan Tun Dr Awang (Barat Daya).

Mohd Shuhaily berkata seramai 360 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang akan bertugas sepanjang Op Selamat ke-18 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai sepanjang musim perayaan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS