Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC: Tiada keperluan Ismail ganti Zahid sebagai pengerusi BN

Tiada keperluan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang, kata Presiden MIC SA Vigneswaran.

Namun, katanya sekiranya ada pandangan sebegitu di kalangan para pemimpin BN, maka ia akan dibincang dalam mesyuarat gabungan itu.

"Tiada keperluan untuk pengerusi BN digantikan. Sekiranya, ada pandangan sebegitu, kami (komponen-komponen BN) akan membuat keputusan (dalam mesyuarat BN).

"Pada pandangan kami, polisi MIC adalah jika ada perkara baik kami tidak akan halang.

“Kami hanya tekan untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita selepas menpengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Menara Manickavasagam, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Vigneswaran (gambar, atas) diminta mengulas saranan Ismail menggantikan Zahid sebagai pengerusi BN, selepas Umno mengisytiharkan naib presidennya itu sebagai calon perdana menteri Umno pada PRU15.

Antaranya, bekas setiausaha Agung Umno, Annuar Musa yang mencadangkan supaya Ismail Sabri diberi amanah sebagai pengerusi BN dan juga pengarah utama jentera pilihan raya BN.

Pada 14 April lalu, Majlis Tertinggi Umno Majlis Tertinggi mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon perdana menteri BN pada PRU15.

Keputusan itu di tengah-tengah spekulasi berkenaan kedudukan Ismail sebagai perdana menteri selepas PRU akan datang.

Ketika PRN Johor sebelum ini, Zahid membayangkan BN belum memutuskan siapa yang akan akan menjadi 'poster boy' gabungan itu untuk PRU15.

Menjelaskan lanjut, Vigneswaran berkata MIC tidak akan campur tangan isu domestik parti komponen gabungan itu sehingga ia dibincangkan kepimpinan BN.

"Dalam BN kami akan bersuara terhadap cadangan yang tidak baik dan menyokong jika bermanfaat kepada negara.

"Itu adalah hak kami di BN. Mungkin ada era, hak itu tidak digunakan sebelum ini

"Tapi, MIC zaman sekarang tidak akan berganjak dengan sebarang tekanan," katanya.

Dia memberi contoh, bahawa MIC telah mengenal pasti beberapa pemimpin komponen yang 'tidak turun padang' berkhidmat tetapi bercita-cita bertanding dalam pilihan raya.

"Kami tetap akan menolak pemimpin-pemimpin sebegitu. Kami akan kutip butir-butir mereka dan membawa ke mesyuarat BN untuk menjelaskan kenapa mereka harus tidak diberi kerusi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS