Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19 bawa pemahaman baru mengenai hak asasi manusia - Kua
Diterbitkan:  Apr 27, 2022 6:31 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Pandemik Covid-19 telah membawa kepada pemahaman baru mengenai konsep hak asasi manusia yang berasaskan individu dan masyarakat, kata pengasas Suaram Kua Kia Soong.

Kua membandingkan situasi di negara Barat yang mempunyai tahap kebebasan individu yang tinggi dengan pemerintahan autoritarian di China.

“Sebagai contoh di AS dengan populasi 300 juta, mereka telah mengalami hampir sejuta kematian, semuanya atas nama kebebasan bersuara.

"Sebaliknya ada negara yang Barat suka panggil autoritarian, di mana mereka prihatin untuk memastikan komuniti mereka dilindungi," kata aktivis sosial itu.

Katanya, sehingga kini masih terdapat sekatan pergerakan di Shanghai yang menyaksikan 5,000 kematian daripada populasi 1.4 bilion akibat wabak itu.

"Jadi sekali lagi anda melihat dalam perspektif pemahaman tentang hak asasi manusia individu dan masyarakat," kata Kua dalam ucapannya semasa pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia tahunan Suaram 2021 yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Wabak terbaru di Shanghai, pertama kali dikesan pada penghujung Mac, dilaporkan menyaksikan lebih 400,000 kes direkodkan setakat ini dan 36 kematian.

Hampir kesemuanya adalah warga emas dan penduduk yang tidak diberi vaksin dengan masalah kesihatan, menurut laporan yang memetik pegawai China.

Berikutan itu 25 juta penduduk di bandar itu telah diarahkan untuk berkurung di rumah.

Sementara itu, banyak kawasan di AS menyaksikan penentangan terhadap kewajipan memakai pelitup muka dan sekatan Covid-19 lain daripada individu yang mempertahankan hak kebebasan individu.

Di Malaysia, Kua juga mengulangi bahawa hak komuniti Orang Asli atau kumpulan yang lebih kecil diabaikan demi syarikat atau individu, kebanyakannya terlibat dalam perebutan pemilikan tanah.

"Jadi sekali lagi kita melihat peringatan yang sangat jelas tentang hak asasi manusia," katanya.

Terlebih dahulu, Kua, yang mengumumkan persaraannya daripada Suaram pada usia 71 tahun, diraikan atas sumbangannya kepada organisasi itu selama lebih 30 tahun, yang turut menjadi inspirasi kepada aktivis hak asasi manusia yang lain di Malaysia.

Pengarang lebih 10 buku itu berkata, dia kini sedang menumpukan untuk menyiapkan kerja terbarunya iaitu menulis memoir peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS