Sebuah kemudahan simpanan barang bukti polis di Sentul, Kuala Lumpur terbakar dalam kejadian kira-kira 6.30 petang tadi.
Kebakaran bermula selepas polis selesai melakukan proses pelupusan mercun petang ini, kata Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai kepada Malaysiakini.
“Tempat itu adalah untuk menyimpan bukti. Selepas (proses pelupusan), kebakaran bermula,” katanya.
Terdahulu, saksi mata melaporkan melihat letupan kuat dan api berpunca dari bangunan itu dan persekitarannya.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan asap berkepul-kepul dari bangunan yang terbakar.
Bunyi mercun meletup satu demi satu juga kedengaran. Sekurang-kurangnya satu video yang beredar dalam talian menunjukkan kilatan cahaya seperti mercun yang meletup di luar bangunan.
Ketika dihubungi, Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu Malaysiakini ia akan memberikan butiran kemudian.
Sementara itu, Bernama melaporkan tiga cedera dalam letupan semasa melupuskan mercun, bunga api di stor tersebut.