Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Profesor veteran hasilkan buku komuniti Brahmin Malaysia

Malaysia terdiri daripada pelbagai komuniti majmuk yang boleh dipecahkan mengikut etnik, bahasa, wilayah dan perbezaan menarik yang lain.

Antara komuniti kecil yang masih bertahan di Kuala Lumpur sehingga hari ini adalah kumpulan Tamil Brahmin.

Seperti kumpulan lain dalam komuniti Tamil yang lebih luas seperti Chettiar dan Thevar, komuniti Brahmin masih bertahan hasil perkahwinan sesama kasta mereka yang diikuti dengan ketat.

Sekitar tahun 1948, diskriminasi berdasarkan kasta telah diharamkan melalui undang-undang dan ini termaktub dalam perlembagaan India, dan pada abad ke-21 Malaysia, sebahagian besar amalan tradisi sebegini telah pupus.

Hari ini, perkahwinan campur, bukan sahaja berlaku di luar garis kasta tetapi berkahwin dengan bangsa dan agama lain juga, adalah perkara lazim.

Baru-baru ini, Prof Sankaran Ramanathan, 81, menghasilkan sebuah buku berjudul “Brahmin Pioneers in British Malaya: Profiles in Courage and Convictions”, yang memperincikan perjalanan hidup beberapa individu yang memilih untuk berhijrah ke semenanjung Tanah Melayu.

“Pada akhir abad ke-19, Brahmin di India jarang meninggalkan komuniti perkampungan mereka dengan menyeberangi laut, dan menetap di tempat yang jauh kerana berisiko dipulaukan apabila mereka kembali ke India.

“Apa yang mendorong kira-kira 130 perintis muda ini untuk menjelajahi ke negara baru yang belum dikenali, tetapi mampu bertahan dan berjaya dalam persekitaran itu?

“Bagaimanakah mereka menjunjung dan mengekalkan tradisi budaya dan agama serta meneruskannya kepada generasi berikutnya dan apakah warisan yang mereka tinggalkan?” soal Sankaran semasa ucapan ringkas ketika pelancaran bukunya pada Ahad lalu.

Datuk kepada Sankaran, Sermadevi Sivaramakrishna Sankaranarayana Iyer (SSS Iyer), adalah antara kumpulan perintis pendatang yang berpindah ke Malaya yang dijajah oleh British pada akhir 1890-an dan perjalanannya didokumenkan dalam buku itu.

Ramai perintis Brahmin itu terpaksa menyesuaikan diri dengan keperluan sekular dan duniawi dengan berkhidmat dalam bidang perkeranian di empayar British - SSS Iyer adalah seorang ketua pos di Banting dan anaknya, S Ramanathan Iyer, adalah seorang jurubahasa mahkamah.

Pada masa yang sama, terdapat upacara sembahyang, perhimpunan masyarakat dan diet makanan sayur-sayuran (vegetarian) yang ketat yang perlu dipatuhi, kata Sankaran.

“Buku ini diilhamkan enam tahun lalu sebagai catatan ringkas tentang komuniti Brahmin. Sepanjang perjalanan, ia berubah menjadi lebih banyak koleksi mini biografi kerana lebih ramai individu yang ingin menceritakan kisah masing-masing.

“Jadi saya menukar fokusnya dan terdapat lebih 60 profil perintis ini. Mereka datang ke persekitaran yang tidak diketahui jauh dari kampung tradisional yang ditinggalkan dan akhirnya berjaya,” katanya.

Buku setebal 300 muka surat itu dimulakan dengan sejarah sosio-ekonomi British Malaya, Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun, kemerdekaan serta pemisahan Singapura.

Terasnya berkisar kepada profil kira-kira 70 perintis, sami dan guru muzik, yang kebanyakannya disumbangkan oleh keturunan mereka.

Antara Brahmin Malaysia yang terkenal termasuk mendiang bekas pengerusi Malaysian Airlines (MAS) Rama Iyer dan peguam bela terkemuka serta pejuang hak asasi manusia, Ambiga Sreenevasan.

“Setiap profil adalah mini-biografi yang menceritakan kisah yang tersendiri. Buku ini menunjukkan bahawa perintis Brahmin meninggalkan warisan mereka yang membanggakan dan berkekalan untuk diikuti oleh generasi seterusnya,” kata Sankaran.

Bekas profesor bersekutu di Universiti Teknologi Mara ini, pernah menulis atau mengarang bersama beberapa buku lain sebelum ini. Ia termasuk buku "Media, Democracy & Civil Society" (2013) dan "Affirmative Action in Malaysia: Paradigm Shifts in Higher Education" yang ditulis bersama bekas pelajarnya, yang juga adalah ahli politik sayap kanan Ibrahim Ali.

[Baca berita penuh]


Edisi cetak edisi terhad akan tersedia pada penghujung Mei. Hubungi [email protected] untuk butiran lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS