Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantahan 'Selamatkan Nagaentran' - 3 peguam diarah ke balai polis

Polis mengarahkan tiga peguam yang menyertai protes di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, supaya tampil memberi keterangan di balai polis Dang Wangi hari ini.

Mereka sebelum ini dilaporkan menggesa republik itu menghentikan hukuman mati ke atas seorang warga Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam.

“Zaid Malek, Mahajoth Singh dan Nabila Khairuddin telah dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis berhubung bantahan terhadap hukuman mati Nagaenthran di Suruhanjaya Tinggi Singapura Sabtu lalu.

"Mereka akan memberikan kenyataan mereka di IPD Dang Wangi pada hari Selasa jam 11 pagi," kata pertubuhan bukan kerajaan Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, satu lagi kumpulan peguam, Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) menggesa polis supaya tidak melayan peserta protes seolah-olah mereka telah melakukan jenayah.

Memetik Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, jurucakapnya, Muhammad Azha Salahudin berkata, perlembagaan menjamin hak setiap individu untuk berhimpun secara aman.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam perhimpunan itu tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai melakukan jenayah, walaupun tiada notis 10 hari kepada polis seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Menurut Azha, peguam berkenaan telah bertindak mengikut undang-undang sedia ada untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan menunjukkan sokongan kepada Nagaentharan, yang dijadualkan dihukum mati di Singapura esok (27 April) atas kesalahan mengedar dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya telah membuka siasatanmengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, dan Peraturan 7 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit mengenai kawalan berhimpun.

“Lain-lain individu yang hadir masih lagi dikesan dan akan turut dipanggil bagi membantu siasata,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada hari Sabtu lalu, lebih 100 individu, termasuk peguam, wakil daripada NGO, ahli parti politik dan orang ramai menyertai protes di bangunan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Jalan Tun Razak untuk membantah hukuman mati ke atas Nagaentharan, yang dikatakan cacat mental.

Nagaenthran dijadual digantung pada 10 Nov tahun lalu tetapi diberi penangguhan hukuman mati pada 8 Nov selepas peguam Singapura M Ravi memfailkan cabaran perlembagaan pada minit-minit terakhir.

Walaupun Mahkamah Tinggi Singapura menolak cabaran itu, ia membenarkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu sepatutnya didengar pada November tetapi ditangguhkan ke Mac tahun ini apabila Nagaentran disahkan positif Covid-19 pada 9 Nov.

Mahkamah Singapura kemudian menolak rayuan terhadap hukuman matinya pada 29 Mac.

Kes Nagaenthran telah mendapat perhatian signifikan daripada media antarabangsa, dengan tumpuan khusus berhubung tindakan Singapura untuk mengantung sehingga mati seseorang yang kurang upaya intelek.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS