Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh minta mangsa banjir KL diberi bantuan sebelum raya
Diterbitkan:  Apr 26, 2022 10:19 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menggesa kerajaan meluluskan bantuan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 kepada semua mangsa banjir kilat di ibu kota yang telah mengalami kerugian harta benda semalam.

Yeoh berkata bantuan itu memang sangat diperlukan terutama ketika mangsa banjir yang beragama Islam sedang membuat persediaan menyambut kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi.

Katanya, semalam beberapa kawasan di Segambut dilanda banjir kilat seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia dan Kampung Segambut Bahagia Tambahan.

"Saya sempat melawat beberapa lokasi semalam dan berjumpa dengan penduduk yang terkesan.

"Hasil tinjauan di tapak telah menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk.

"Banyak rumah dimasuki air sedalam dua kaki dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Yeoh lagi, selain itu terdapat juga pelajar yang berdepan masalah buku serta kemudahan persekolahan yang rosak, selain golongan dewasa kerugian akibat kenderaan mereka ditenggelami air.

"Memandangkan hari raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini terjejas dengan teruk, saya menggesa perdana menteri dan menteri Wilayah Persekutuan segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mereka yang terkesan," katanya lagi.

Semalam, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sejak jam 3.30 petang, menyaksikan banyak laluan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air.

Antara laluan itu adalah Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Turut dilaporkan ditenggelami air adalah Jalan Sematan, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thami Dollah dan lebuhraya Sultan Iskandar.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut memaklumkan keadaan itu di laman sosialnya.

Kotakan janji pada Feb lalu

Dalam pada itu, Hannah menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian yang tuntas bagi mengatasi masalah berulang banjir di Kuala Lumpur yang semakin kritikal.

"Keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal.

"Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.

"Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh diguna pakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Sementara itu Anggota Parlimen Batu P Prabakaran pula menegaskan sehingga sekarang pelan mitigasi banjir yang dijanjikan di Dewan Rakyat juga belum dibentang kerajaan.

P Prabakaran

Katanya, pada sidang khas Dewan Rakyat Januari lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Abdul Latiff Ahmad menyatakan negara masih belum mempunyai akta pengurusan bencana dan kerajaan sedang mempercepatkan penggubalan akta tersebut.

"Namun sehingga sekarang kita tidak tahu ke mana hasil penggubalan akta tersebut.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga seolah-olah masih belum bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir.

"Malah sangat menghairankan apabila kerajaan masih gagal mengoptimumkan fungsi Jabatan Meteorologi Malaysia untuk memberi amaran awal kepada rakyat di sesetengah kawasan mengenai perubahan cuaca," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan itu lagi, DBKL turut menubuhkan Task Force Banjir Kilat dan meluluskan dana sebanyak RM25 juta bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur bersama Institut Kerja Raya Malaysia yang dilaporkan akan dibentangkan April ini, namun sehingga kini tiada khabar berita mengenainya.

"Saya mendesak DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia mengeluarkan hasil siasatan yang dijalankan seperti dijanjikan pada Feb lepas.

"Jangan lakukan kerja hangat-hangat tahi ayam sahaja hingga pada akhirnya tiada perkembangan mengenai apa yang dijanjikan," kata Prabakaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS