Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis dilepas tanpa bebas tuduhan buat komunikasi jelik

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memerintahkan aktivis Heidy Quah dilepas tanpa dibebaskan berhubung pertuduhan membuat komunikasi jelik selepas mendapati pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Peguamnya New Sin Yew memberitahu Malaysiakini bahawa hakim, Edwin Paramjothy mendapati pertuduhan itu tidak mematuhi Seksyen 152 hingga 154 Kanun Tatacara Jenayah yang menetapkan bahawa bentuk pertuduhan, butiran masa, tempat dan orang serta cara melakukan kesalahan mesti dinyatakan.

Pengasas Refuge for Refugees itu didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian.

“Hakim mendapati pertuduhan itu gagal mematuhi bahasa ketat S233 CMA dan pertuduhan itu tidak mempunyai ramuan undang-undang yang diperlukan.

“Oleh itu tertuduh dibiarkan tertanya-tanya tentang pertuduhan yang dibuat terhadapnya.

“Haknya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar oleh ketidakpatuhan peruntukan dalam CPC.

"Dan untuk membenarkan perbicaraan diteruskan akan menjadi penyalahgunaan proses, dan akan mengurangkan atau menjadikan hak perlembagaan tertuduh menjadi tidak berkesan atau ilusi," jelas New.

Pada Ogos 2021, Quah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpura atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan nama profil 'Heidy Quah' pada 5.30 pagi, 5 Jun 2020.

Dia kemudian memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 30 Ogos 2021, melalui firma guaman Amer Bon, bagi memohon perintah mahkamah untuk memutuskan perkataan "menyinggung perasaan" dan "jelik" dalam Seksyen 233 sebagai tidak sah kerana tidak berperlembagaan.

Seksyen 233 (1) (a) menyatakan bahawa mana-mana orang yang membuat kandungan yang mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, menggugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

Quah berhujah bahawa peruntukan Seksyen 233 - iaitu perkataan "menyinggung" dan "jelik" - yang menjadikannya satu kesalahan untuk secara sedar membuat sebarang komen dalam talian yang menyinggung perasaan dan dengan niat untuk mengganggu orang lain, adalah sekatan ke atas kebebasan bersuara yang melangkaui ad perlembagaan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10(1) menjamin hak kebebasan bersuara dan bercakap kepada semua warganegara Malaysia.

Manakala Perkara 10(2)(a) membenarkan parlimen sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS