MALAYSIANSKINI | Tidak ramai orang yang melakukan begitu banyak pekerjaan seperti Hasrul Rizwan.
Hasrul adalah seorang penulis - dengan lingkungan peminatnya sendiri - dan antara karyanya adalah Budak Hostel Otaknya Sewel dan trilogi Murtad.
Selain itu, anak kelahiran Kulim ini juga seorang pengurus jenazah, pembuat keranda dan juga memiliki perniagaan membuat roti, siap dengan perkhidmatan penghantaran sendiri.
Hasrul adalah pembantu pengurus jenazah dan pembuat keranda bagi kariah Masjid Taman Selasih di Kulim.
Dia membesar di Sungai Udang, Melaka tetapi pulang ke kampung halaman ketika berusia 17 tahun bersama-sama keluarga, apabila bapanya, Abdul Halim bersara sebagai komando tentera.
“Ayah saya bekerja sebagai pengurus jenazah setelah persaraannya dan saya membantunya membuat tempahan keranda apabila rakannya yang juga pembuat keranda jatuh sakit kerana usia yang sudah lanjut.
“Dari situlah banyak tempahan keranda datang dari pelbagai tempat di sekitar Kulim, Sungai Petani, Baling dan Pulau Pinang, tidak terkecuali dari pihak hospital sendiri.
“Saya kemudian ambil keputusan berhenti kerja sebagai pereka untuk kereta mainan Hotwheels di Mattel Seberang Perai dan mula bergiat secara tetap sebagai seorang pembuat keranda,” katanya kepada Malaysiakini.
Hasrul menjadi pembuat keranda sepenuh masa sejak tiga tahun lalu dan apabila diperlukan, dia akan membantu bapanya menguruskan jenazah untuk dikebumikan.
Bermula dengan blog
Menceritakan perjalanannya sebagai penulis pula, Hasrul berkata dia mula menulis blog menerusi Blogspot dan WordPress ketika platform itu ramai digunakan golongan muda.
“Saya juga tidak terkecuali. Blog saya, Manapiranha dapat sambutan kerana saya menyampaikan kisah pendek yang ringan, santai dan sarat dengan lawak jenaka sesuai untuk bacaan remaja.
“Kebanyakan cerita yang saya bawakan adalah kisah empat sekawan yang nakal dan lucu menempuhi kehidupan di asrama sekolah menengah. Cerita ini yang paling digemari pembaca pada waktu itu.”
Katanya, idea untuk menulis siri novel Murtad tercetus setelah menonton filem Korea, A Dirty Carnival dan melihat Amir Muhammad melancarkan novel Fixi Books di televisyen beberapa minggu kemudian.
“Saya terus hantar sinopsis cerita kepadanya dan mendapat maklum balas yang baik dan diminta untuk menghantarkan novel lengkap kepada Fixi.
“Saya tidak ambil masa lama untuk menulis dan novel tersebut berjaya disiapkan, diterima panel penilai Fixi dan terus dicetak untuk dilancarkan di Pesta Buku Selangor 2012,” katanya lagi.
Respons yang diterimanya lebih daripada menggalakkan.
Kata Hasrul lagi, dia kemudian terus menulis novel seterusnya dan Budak Hostel Otaknya Sewel lahir setelah dia memuat naik beberapa cerita di blognya di platform Wattpad.
Selepas maklum balas di luar jangka, dia kemudian menyusun kembali tulisan-tulisan di blognya menjadi novel yang diterbitkan Dubook Press.
‘Urus jenazah sama seperti pekerjaan lain’
Hasrul mengakui ada personaliti diri dan pengalaman peribadi yang dimuatkan dalam cerita-ceritanya dan baginya ia perkara biasa bagi semua penulis.
“Saya lebih suka menulis cerita-cerita lucu berbanding kisah sedih atau menakutkan walaupun saya dikelilingi vibe sebegitu. Lazim orang mengandaikan kerja penggali kubur, pengurus jenazah, bahkan pembuat keranda adalah menakutkan.
“Tapi saya tiada bezanya dengan apa saja pekerjaan yang orang lain lakukan.
“Sama ada penghantar makanan, pekerja pejabat, mekanik, pekerja kontrak binaan, pekebun atau apa saja, asalkan mencari rezeki yang halal, berbakti untuk keluarga, menyumbang kepada masyarakat, mentaati agama, sentiasa menjaga adab dan keperibadian yang baik, kita adalah sama dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan.”
Dia lazimnya membuat 20 hingga 30 keranda sebulan namun ketika kemuncak kes kematian Covid-19 tahun lalu, dia pernah menyiapkan sehingga 12 keranda sehari.
Sehingga kini Hasrul tidak dapat menjelaskan bagaimana dia mampu melakukannya.
Dia juga mengakui ada yang pada mulanya terkejut apabila mengetahui pekerjaannya itu.
“Ada yang tidak percaya dan beranggapan saya bergurau kerana ia tidak seperti apa yang mereka bayangkan bagi seorang penulis yang banyak menghasilkan karya komedi. Malah ada yang masih ingat ia hanya salah satu jenaka saya,” katanya.
Bagi seseorang yang melakukan begitu banyak perkara, pengurusan masa amat penting bagi Hasrul.
“Waktu kerja saya fleksibel dan tidak terikat dengan pihak atasan. Saya amat bersyukur kerana boleh membahagikan kerja mengikut kesesuaian dan keperluan pada setiap hari. Selalunya saya akan mula membuat roti dan kuih seawal jam tiga pagi.
“Slepas Subuh dan dapur sudah dibereskan, saya akan pergi ke bengkel membuat keranda dan membuat kerja di tanah perkuburan seperti memotong rumput, membaik pulih alatan dan seumpamanya.
“Saya hanya menulis pada waktu malam sebelum masuk tidur kerana ketika itu yang sunyi dan tiada gangguan untuk berkarya,” katanya lagi.
Bagi Hasrul, apa yang dilakukannya adalah biasa saja - tidaklah terlalu menarik mahupun unik berbanding orang lain.
Katanya, di saat ekonomi tidak stabil, penularan wabak, perang, di tambah dengan pekerjaan yang berkurang dan kehidupan yang kain mendesak, ramai yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan.
Baginya, kalangan yang gigih bekerja untuk menyara keluarga dan meneruskan kehidupan di saat kesusahan adalah “insan berhati waja”.
“Saya sudah lihat banyak tangisan dan kesengsaraan dalam setiap kematian, dan itu bukanlah perkara yang harus dibanggkan. Saya hanya insan kecil yang tiada apa-apa melainkan menulis, membalut jasad si mati dan si tkang kayu.”
Ditanya dia mahu dikenali sebagai apa, Hasrul berkata setiap orang melihat dirinya berbeza.
“Bila ada buku baru, saya dikatakan sebagai penulis. Bila saya menjual roti, orang akan kata saya pembuat roti. Bila saya mandikan jenazah, orang akan kata saya pengurus jenazah, bila saya bersihkan tapak kubur, orang katakan saya penjaga kubur dan bila saya memotong kayu, orang akan kata saya si tukang keranda.”
Dia pula berharap orang akan menganggap dirinya sebagai individu yang melakukan setiap pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Hasrul juga tidak terlalu memikirkan mahu dikenang sebagai apa, tetapi soalan itu pernah ditanya oleh isterinya.
“Saya tak pernah terfikir sebelum ini namun sekarang, di usia sebegini, nyawa saya kelak turut dijemput pergi dan meninggalkan harta, gelaran, kemasyhuran dan jawatan.
“Saya tak mahu dikenang sebagai apa-apa melainkan seorang insan yang baik dan disenangi semua. Itu saja,” katanya.