Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sangkar beruk': Bekas MB Johor tegur speaker DUN baru
Diterbitkan:  Apr 23, 2022 3:43 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad menegur Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru dilantik Mohd Puad Zarkashi,agar menumpukan usaha perkukuh kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi berbanding memainkan sentiman yang menghina pihak lain.

Ini selepas Puad pada Khamis menasihati Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor supaya menjaga perangai dan "ini dewan mulia bukan dewan sangkar beruk".

"Speaker DUN Johor tidak seharusnya berkata demikian, meskipun sekadar untuk mengingat.

"Sebagai Speaker dan Ahli Dewan Negeri, seeloknya beliau memberikan jaminan serta mengutarakan pelan tindakan bagi memperkuat institusi demokrasi negeri dalam masa terdekat.

"Dalam konteks kedudukan beliau - reformasi politik, mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi serta ahli politik adalah lebih mustahak daripada memainkan sentimen ‘derogatory’ seperti itu," kata Hasni di Facebook.

Ungkapan "sangkar beruk" digunakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa titah baginda di DUN tahun lalu apabila mengingatkan ahlinya bahawa DUN bukanlah sangkar beruk.

Puad, yang merupakan ADUN Rengit, berkata dia hanya mengulangi nasihat Sultan Johor.

"Apakah mengingatkan nasihat murni itu satu penghinaan?" katanya dalam catatan Facebook.

Puad turut mempersoalkan mengapa Hasni memetik portal berita ketika berada dalam perhimpunan pada masa itu, dan bertanya sama ada bekas menteri besar itu sedang tidur ketika itu.

“Hasni boleh semak hansard Dewan sebelum buat komen. Sebenarnya lena dalam Dewan adalah menghina Dewan,” kata Puad.

Pada PRN Johor bulan lepas yang menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, gabungan itu berkempen atas janji mengekalkan Hasni sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, selepas memenangi pilihan raya, BN tidak dapat perkenan diraja untuk Hasni dilantik semula sebagai menteri besar.

Sebaliknya, Adun Machap Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru.

Onn Hafiz adalah cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS