Menurut pakar kesihatan, sudah tiba masanya Malaysia melonggarkan prosuder operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 di tengah cakap-cakap bahawa kerajaan sedang meneliti semula langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka.
Pakar kesihatan awam, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata pemakaian pelitup masih perlu dilaksanakan di tempat tertentu kerana membawa lebih banyak kesan positif.
"Pelitup muka perlu diwajibkan di dalam bangunan dan semasa perhimpunan besar di mana penjarakan fizikal tidak boleh dilakukan. Ada banyak kesan positif daripada mandat pelitup muka di tempat yang sesuai.
"Bagaimanapun, (mandat pelitup muka) di ruang terbuka harus dibatalkan kerana dalam keadaan sekarang, ia tiada gunanya - terutamanya kepada mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya dan mendapat dos penggalak," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Farhan, banyak negara telah beralih untuk mewajibkan pelitup muka hanya di dalam bangunan, yang menurutnya selaras dengan data saintifik.
"Ada banyak data saintifik yang membuktikannya. Seperti yang saya katakan berkali-kali sebelum ini, kita mesti guna pendekatan menggunakan ubat berasaskan bukti dan menerapkannya dalam penggubalan dasar, bukannya mengikut langkah populis," tambahnya.
Tambahnya, Malaysia masih perlu mewajibkan penggunaan pelitup muka di dalam bangunan terutamanya berikutan sistem pengudaraan yang lemah.
Banyak bangunan di negara ini, termasuk kemudahan awam, masih belum memenuhi piawaian kualiti udara yang diperlukan.
“Malaysia sentiasa mempunyai rekod prestasi yang buruk dalam penguatkuasaan protokol keselamatan yang baik, terutamanya dari segi kualiti udara.
"Lihat sahaja bangunan kerajaan itu sendiri. Kebanyakannya, walaupun bukan semua pasti akan gagal dalam ujian kualiti udara di dalam bangunan," dakwanya.
Pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee juga mempunyai pandangan serupa - bahawa pelitup muka di luar rumah harus ditarik balik.
Dia berkata sudah tiba masanya negara ini mengkaji semula SOP berkaitan Covid-19, memandangkan situasi pandemik semasa.
“Sudah tentu dengan penurunan jumlah kemasukan hospital akibat Covid-19, terutamanya di ICU, dan kematian akibat Covid, ditambah dengan kadar vaksinasi kita yang tinggi, sudah tiba masanya untuk menyemak SOP kita.
“Mandat topeng boleh ditarik balik di kawasan lapang, melainkan jika terdapat kesesakan yang ketara, tetapi dalam ruang tertutup terutamanya apabila pengudaraan adalah terhad, pelitup muka masih perlu dikuatkuasakan atau sangat digalakkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada masa yang sama, Lee, yang merupakan bekas timbalan ketua pengarah kesihatan, turut menasihatkan kerajaan untuk menarik balik sekatan secara berperingkat.
Dia berkata langkah itu perlu diambil bersama dengan pemantauan berterusan dan penelitian terhadap situasi Covid-19.
‘Perlu berhati-hati'
Pakar perunding kanan pediatrik, Dr Amar Singh HSS berkata kerajaan perlu bertindak secara berhati-hati apabila melonggarkan SOP Covid-19 sekarang.
Dalam satu kenyataan, Amar berkata negara ini harus belajar daripada negara lain yang mengambil langkah serupa, termasuk menghapuskan sepenuhnya mandat pelitup muka.
"Pengalaman dari Eropah dan United Kingdom membimbangkan. Apabila sekatan termasuk mandat pelitup muka, ditarik balik, kemasukan ke hospital meningkat, terutama di kalangan kanak-kanak," katanya.
Amar menegaskan kesan serius Long Covid dan kesan kesihatan jangka panjang yang lain apabila seseorang dijangkiti penyakit itu dan menegaskan bahawa vaksinasi tidak sepenuhnya menghapuskan risiko Long Covid.