Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs minta JPA pastikan pelaksanaan semua pekeliling dikuat kuasa
Diterbitkan:  Apr 22, 2022 5:56 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memastikan pelaksanaan semua pekeliling yang sudah berkuat kuasa tetapi masih tidak dilaksanakan atau gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Presidennya, Adnan Mat berkata JPA perlu memantau setiap pekeliling yang sudah diluluskan oleh kerajaan supaya hak dan kebajikan warga penjawat awam tidak diabaikan.

"Penekanan terhadap pemantauan pekeliling yang dikuatkuasakan adalah penting bagi memastikan setiap objektif yang telah digarapkan oleh kerajaan untuk penjawat awam berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

"Pekeliling yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sudah tentu telah menjalani suatu kajian terperinci sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Jika pekeliling tersebut tidak dilaksanakan dengan berkesan, menjadi suatu kerugian kepada penjawat awam itu sendiri yang mendapat manfaat secara langsung daripada pekeliling tersebut.

"Pekeliling tersebut bukanlah tidak sesuai dilaksanakan atau tidak relevan tetapi ia disebabkan keengganan sesetengah jabatan untuk melaksanakannya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dia berkata demikian mengulas kenyataan JPA yang memaklumkan telah menubuhkan petugas khas bagi menyemak semula pekeliling lama untuk diberi nafas baru selain membatalkan terus mana-mana pekeliling yang sudah tidak relevan.

Katanya, tindakan sesetengah jabatan yang tidak melaksanakan pekeliling ini sudah tentu memberi kesan motivasi kerja kepada penjawat awam.

Antara pekeliling yang sudah dikuatkuasakan dan dilihat tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya ialah tempoh kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana.

Begitu juga kebenaran penebusan awal wang tunai Gantian Cuti Rehat sebanyak 80 hari yang dilihat masih lagi tidak dilaksanakan sedangkan pekeliling ini telah dikuatkuasakan bermula Januari 2022.

"Cuepacs berharap JPA dapat menubuhkan suatu jawatankuasa untuk memantau setiap pelaksanaan pekeliling yang telah diluluskan oleh kerajaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS