mk-logo
Berita
Lucu, menteri gesa ILO, kedutaan AS maklum siasatan kes buruh paksa - Kulasegaran
Diterbitkan:  Apr 22, 2022 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia untuk memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa di negara ini dianggap "melucukan."

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata permintaan itu Saravanan satu cubaan yang lemah untuk menutup ketidakmampuannya dalam mengekang isu buruh paksa di Malaysia.

"Saravanan mesti tidak tahu cara siasatan berfungsi. Jika, siasatan didedahkan sebelum tindakan diambil, apakah kebaikan penyiasatan itu?

“Mungkin dia fikir masyarakat antarabangsa boleh 'dibeli' dan terpengaruh.

"Hakikatnya adalah jelas. Saravanan telah gagal memberi inspirasi kepada industri untuk menamatkan buruh paksa atau perhambaan moden.

"Meratifikasi Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa 1930 (No 29) adalah tidak cukup baik jika kekurangan sokongan di undang-undang peringkat domestik. Penguatkuasaan mesti dipertingkatkan dan tiada jalan pintas," kata bekas menteri sumber manusia era pentadbiran PH itu.

Dilaporkan, Saravanan (gambar, atas) meminta ILO dan Kedutaan AS untuk memaklumkan siasatan terhadap isu buruh paksa selepas siasatan oleh pihak Malaysia tidak dapat mengesan sebarang kesalahan.

Menurutnya, kerajaan telah membuat siasatan berdasarkan 11 petunjuk buruh paksa sedia ada yang digariskan ILO tetapi tidak dapat mengesan kesalahan.

"Beberapa produk telah dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS atas alasan faktor buruh paksa, namun sehingga kini KSM tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.

"Ini menjadikan kita sukar mengambil tindakan terhadap majikan.

"Maka, maka (kita) jumpa pihak ILO dan Kedutaan AS supaya sebarang siasatan oleh pihak AS harus dimaklumkan kepada kita, kerana jika tidak kita tidak akan nampak penyelesaian," katannya, semalam.

Sementara itu, Kulasegaran meminta menteri itu untuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyelesaikan isu buruh paksa.

"Pasukan itu perlu disertai semua pihak berkepentingan seperti majikan, NGO, Kesatuan Sekerja untuk mendapatkan pandangan dan input tentang cara terbaik untuk membasmi buruh paksa.

"Apabila semakin banyak syarikat didapati bersalah atas kerja paksa, maka ia telah membuktikan bahawa sistem yang digunakan oleh menteri, telah gagal.

"Menteri mesti memastikan sistem itu melatih pegawai penguatkuasa mengenai bagaimana mencari unsur-unsur buruh paksa. Kelemahan dalam kementerian mesti ditangani," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS