Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tak guna layan surat layang, nanti kita sama-sama melayang’
Diterbitkan:  Apr 22, 2022 1:13 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

PAS tidak perlu membuat penafian berhubung pendedahan dokumen "PASleak" yang disifatkan sekadar surat layang.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata tidak perlu dia melayan "surat layang" berkenaan kerana ia "tidak lekat" disisi undang-undang.

"Tak perlu saya nafi, itu (Ahmad Samsuri Mokhtar) dah buat," kata Abdul Hadi ketika ditemui pemberita di Rusila, Marang hari ini.

"Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita dok layan (melayan) surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang," katanya lagi.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keratan didakwa minit mesyuarat PAS yang merancang untuk menjatuhkan Umno dan BN, termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ke penjara.

Beberapa nama pemimpin Umno termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak,Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dikaitkan dengan gerakan menjatuhkan Umno, BN.

Bagaimanapun Menteri Besar Terengganu yang turut dikaitkan dengan perkara itu menyifatkannya sebagai "dokumen" sampah.

Ahmad Zahid pula semalam mengarahkan peguamnya membuat laporan polis berhubung perkara.

Ditanya mengenai tindakan Ahmad Zahid membuat laporan polis mengenai perkara itu,Abdul Hadi berkata ia hak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk membuat laporan.

Namun, secara sinis Abdul Hadi berkata hanya "loyar buruk" saja yang melayan surat layang.

“Saya rasa hanya yang loyar buruk sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat.

"...Cuma dia (penyebar surat) tanggung lah (jawablah) dengan Tuhan, kita orang Islam percayakan, bulan puasa pula," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi nama-nama yang disebut dalam dokumen itu dan masih menunggu penjelasan mereka.

Portal ini tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen itu.

Antara semua nama yang disebut, setakat ini hanya Samsuri dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang menafikan kesahihan dokumen itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS