Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera bersuara bagi menyelesaikan isu pemeriksaan mengejut haid yang belum selesai hingga kini.
Bercakap kepada Malaysiakini, Jamaliah berkata, pemeriksaan mengejut tersebut melanggar privasi seseorang dan boleh dianggap sebagai gangguan fizikal atau penderaan.
"Sudah tentu perlu ada jawapan konkrit dan pandangan daripada KPM sama ada pemeriksaan mengejut haid itu dibenarkan atau dilarang," katanya.
Dia juga menganggap penjelasan KPM sebelum ini sebagai tidak bermakna.
Jamaliah merujuk kepada penjelasan Menteri Pendidikan Radzi Jidin pada 15 Nov tahun lalu yang menyatakan amalan tersebut dianggap sebagai tradisi dalam kalangan pelajar senior dan telah dilaksanakan sejak sekian lama.
Bagaimanapun kata Radzi, nasihat diberi kepada pelajar yang terlibat bahawa amalan itu harus dihentikan.
Menurut Jamaliah, dia berpendapat seseorang pelajar perlu mendapatkan keselesaan dan keselamatan semasa menuntut ilmu.
Jika tidak katanya keadaan itu sudah menafikan fungsi sesebuah sekolah sebagai tempat untuk generasi muda di negara ini belajar dalam persekitaran yang selamat serta selesa.
“Selain itu, melihat ia adalah masalah mudah yang mudah diatasi, saya tak faham mengapa ia gagal ditangani KPM dan tiada langkah rasmi diambil setakat ini.
“Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Radzi dan KPM berbincang semula mengenai perkara ini,” katanya.
Semua orang bimbang
Sementara itu Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis mengingatkan Radzi bahawa isu tersebut melibatkan maruah pelajar.
Selain itu katanya langkah menyentuh bahagian sulit seseorang mungkin boleh dianggap sebagai tindakan gangguan seksual, sama ada ia dilakukan dengan niat atau tidak.
"Radzi tak patut terus berdiam diri. Dia mesti menjelaskan tempoh yang diambil untuk menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti aduan berkaitan, serta cabaran yang dihadapi.
"Kalau dah terlewat, akan ada lebih banyak kes pemeriksaan mengejut haid di sekolah berlaku.
"Perlu ada penetapan jelas mengenai tarikh akhir mengenainya," tambah Napsiah.
Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata sejak 2 Nov 2021 dia melihat belum ada sebarang langkah konkrit diambil KPM untuk memastikan amalan berkenaan dilarang
Tarikh berkenaan merujuk kepada pekeliling dikeluarkan KPM mengenai larangan amalan pemeriksaan mengejut ke atas pelajar perempuan di sekolah.
"Saya tahu menteri mengeluarkan amaran keras untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat tetapi sehingga kini kita tidak nampak sebarang perkembangan atau kemas kini daripada KPM, dan tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak.
"Saya bimbang kerana kita sudah dengar pelbagai versi mengenai apa yang berlaku," katanya.
Dengan reaksi yang ditunjukkan KPM setakat ini, kata Teo, dia menganggap kerajaan mungkin cuba mengabaikan isu berkenaan walaupun keadaan yang berlaku adalah serius.
“Belum ada sebarang kemas kini setakat yang saya tahu.
"Adakah wujud pekeliling yang dikeluarkan mengenai isu tersebut atau mekanisme aduan yang disediakan untuk mangsa?
"Kita semua ingin tahu kerana ia melibatkan anak-anak kita,” katanya.