Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Betul kata Samsuri - 'PASleaks sampah'
Diterbitkan:  Apr 22, 2022 11:28 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin menafikan gabungan itu mengadakan perbincangan untuk menjatuhkan beberapa pemimpin politik sebagaimana dakwaan dokumen yang disebut PASleaks.

Hamzah dipetik Bernama berkata pertemuan antara pemimpin politik dalam PN merupakan perkara biasa.

"Dia (Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) datang jumpa saya betul ada sebab.

"Dalam PN pun sudah tentu kita jumpa rakan-rakan kita terutama nak bincang post-mortem pilihan raya dan sebagainya.

"Jadi, saya sebenarnya kalau orang tanya saya betul ke PN mesyuarat nak jatuhkan sesiapa?

"Betul lah (Ahmad Samsuri) kata itu (dokumen) ‘sampah’ kerana tidak ada langsung perbincangan," katanya yang juga menteri dalam negeri itu, semalam.

Ahmad Samsuri (gambar, bawah) yang juga menteri besar Terengganu pada 20 April lalu berkata dia menganggap dokumen yang didakwa mengandungi maklumat sulit mengenai langkah terancang 'mengenakan' pemimpin Umno sebagai "sampah."

Katanya, dia juga berasa hairan kerana ada pihak yang percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar.

Dokumen digelar PASleak itu menarik perhatian beberapa pemimpin kanan Umno termasuk Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam dokumen tersebut beberapa nama disebutkan. Selain Ahmad Zahid, ia juga memetik nama Ahmad Samsuri.

Antara lain dokumen itu mendakwa ada cubaan dibuat agar Ahmad Zahid dan Najib Razak dipenjarakan segera.

Untuk rekod Ahmad Zahid sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, manakala Najib sudah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan juga ditolak oleh hakim. Kes berkenaan kini dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Di pihak Perikatan Nasional (PN), dokumen PASleak tersebut memetik nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Mohamed Khalid Nordin hari ini berkata semua pemimpin Umno yang dinamakan dalam dokumen itu mesti menjelaskan tujuan pertemuan mereka dengan PAS.

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed pula menggesa badan disiplin parti itu menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Nur Jazlan berkata dokumen yang bocor itu telah mendedahkan identiti pengkhianat dalam parti untuk tatapan semua ahli Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS