Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PASleak petik nama: Pemimpin Umno perlu beri penjelasan - Khaled

Pemimpin Umno yang didakwa mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS dan namanya dipetik dalam pendedahan dokumen "PASleak" perlu menjelaskan agenda pertemuan mereka.

Naib Presiden Umno Mohamed Khalid Nordin berkata semua pemimpin Umno yang dinamakan dalam dokumen itu mesti menjelaskan tujuan pertemuan mereka dengan PAS.

“Pemimpin-pemimpin Umno yang PAS temui mesti nyatakan apakah tujuan dan intipati perbincangan perjumpaan mereka. Menjadi tanda tanya mereka berdiam diri hingga hari ini," katanya menerusi mesej teks kepada Malaysiakini.

Khaled berkata demikian diminta mengulas mengenai pendedahan dokumen kononnya laporan risikan oleh PAS, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dokumen itu mengandungi minit mesyuarat yang didakwa pertemuan membabitkan seorang pemimpin PAS dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar - dengan beberapa ahli politik terkemuka termasuk daripada Umno.

Pertemuan itu didakwa berlangsung antara 24 Mac dan 7 April tahun ini bagi membincangkan rancangan politik bagi menyegerakan hukuman penjara terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan kemnya.

Ahmad Samsuri bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menyifatkan dokumen tersebut sebagai "dokumen sampah".

Tambah Khaled, dia tidak hairan jika ada percubaan sedemikian oleh PAS terhadap Umno, terutama selepas parti Islam itu memilih Bersatu berbanding Umno.

"Kita memang sedar siapa PAS, tindak-tanduk mereka tidak memeranjatkan. Bila mereka dakap Bersatu, kita tahu bagaimana mereka lihat Umno.

"Oleh kerana 'PASleaks' itu dah jadi pengetahuan umum, terserahlah kepada nama-nama yang disebut itu untuk menjernihkan diri," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menggesa badan disiplin parti itu menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nur Jazlan berkata dokumen yang bocor itu telah mendedahkan identiti pengkhianat dalam parti untuk tatapan semua ahli Umno.

"Jawatankuasa Displin Umno perlu bertindak dan siasat dan panggil penama untuk menjawab.

"Baguslah konspirasi antara Bersatu, PAS, katak pengkhianat Umno bermaruah dalam Bersatu dan pengkhianat tidak bermaruah yang masih menyamar dalam Umno telah terbongkar. Saya berharap orang Umno faham," katanya.

Nur Jazlan, yang juga bekas ahli parlimen Pulai, turut membidas Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya sebagai tidak berprinsip dan tidak bermaruah kerana bekerjasama dengan kerajaan pimpinan BN sekarang.

"Rakyat Malaysia yang telah terpedaya dengan PH juga yang mengkhianati tanggungjawab mereka sebagai pembangkang dengan memyokong Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan sekarang juga tidak berprinsip dan bermaruah.

"PH pun tak ada maruah dan terlibat sama dalam konspirasi menyokong kerajaan sedia ada," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil mencabar Samsuri untuk melakukan "sumpah laknat" bagi menafikan kandungan minit mesyuarat.

"Jika semua perkara yang diperkatakan dalam minit mesyuarat itu benar-benar tidak betul, maka saya mencabarnya untuk membuat sumpah laknat," katanya, seperti dipetik blog Info Rakyat dalam artikel, yang dikongsi Isham di akaun Facebooknya.

"Hanya penafian semata-mata tidak akan mengurangkannya, kerana rakyat tidak lagi percaya ahli politik dua muka yang akan berkata satu perkara tetapi melakukan secara berbeza di belakang mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS