Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM siasat insiden ahli PSM masuk pekarangan bangunan, rakam video
Diterbitkan:  Apr 21, 2022 10:18 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius insiden ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) memasuki pekerangan bangunan ibu pejabat dan merakam video tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu juga berkata bahawa pihak mereka akan membuat siasatan lanjut.

"Harus diperjelaskan bahawa berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) yang diwarta terhadap bangunan tersebut, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan SPRM bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

"Rakaman video dan kamera juga tidak dibenarkan dalam KLTL tersebut tanpa kebenaran pihak Pengurusan Tertinggi SPRM.

"Bagaimanapun didapati kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan itu telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan.

“Individu-individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM," kata suruhanjaya itu.

SPRM juga berkata pihak mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Suruhanjaya itu berkata demikian merujuk video yang ditularkan menerusi akaun Twitter sebuah parti politik yang mendakwa seorang pegawai berlaku kasar dan menghalau ahli-ahli parti tersebut dari pekarangan bangunan.

Dalam insiden itu, beberapa ahli PSM dan petani dari Perak melawat Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membuat aduan berhubung dakwaan penyelewengan urusan tanah oleh kerajaan negeri Perak.

Antara yang hadir ialah pengerusi PSM Dr. Jeyakumar Devaraj, setiausaha agung Sivarajan Arumugam, dan wakil petani Kanthan Tan Tean Chee.

PSM kemudiannya menyiarkan video di Twitter memaparkan seorang pegawai SPRM dan Sivarajan bertegang leher.

Parti itu turut mendakwa bahawa pegawai itu telah "menjerit" dan "mengusir" kumpulan itu daripada pekarangan bangunan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS