Ruang makin sedikit di ibu kota. Segalanya makin terhimpit. Rakyat bukan sahaja dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barang yang sentiasa naik, bahkan juga dengan ruang yang semakin sempit. Rakyat bukan sahaja kesesakan setiap bulan, bahkan juga semakin kesesakan di jalan dan berasa gusar di bandar-bandar besar.
Terbaru kita dikhabarkan dengan tragedi basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, yang mengakibatkan kematian lapan orang remaja, dilanggar oleh seorang perempuan di waktu malam. Terdetik di hati kita apakah yang dilakukan oleh remaja-remaja itu di waktu malam (3.20 pagi)?
Kita tidak dapat menafikan bahawa ibu bapa bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka. Adakah ibu bapa mereka tiada di rumah pada waktu malam begitu? Ibu atau bapa harus menggalas peranan menjaga anak. Jika kedua-duanya terpaksa mencari nafkhah di luar rumah, salah seorang dari mereka haruslah pulang awal untuk melihat anak atau apa yang terjadi di rumah.
Jika kedua-duanya begitu obsesif dengan kerjaya masing-masing, mengapa perlu berkahwin dan seterusnya melahirkan anak, jika kemudian merasa karier atau pekerjaan lebih penting? Atau yang selalu bermain di fikiran ramai, jika tidak berkemampuan dari sudut ekonomi, seharusnya merancang pengeluaran anak.
Bukan salah Sam Ke Ting (perempuan yang melanggar) selaku seorang warga merdeka yang telah dewasa untuk keluar malam. Malaysia bukan Arab Saudi yang sebelum ini melarang perempuan memandu.
Tetapi kita juga tidak dapat menolak tentang kemiskinan ruang dan kesesakan hidup di bandar. Bukan sahaja tentang kemiskinan dan kesesakan dari sudut wang ringgit, tetapi dari sudut secara literal pun, ruang kita sememangnya semakin sempit!
Hukuman keras baik untuk Sam Ke Ting atau untuk orang tua remaja yang terlibat dengan aktiviti basikal lajak tidak banyak membantu. Apatah lagi jika keluarga itu ialah keluarga B40. Jika hukuman penjara dikenakan kepada ibu atau ayah remaja itu, siapa yang akan mencari nafkhah keluarga? Bukankah anak itu akan lebih bermasalah apabila hanya ibunya mencari nafkhah dan tiada siapa akan menjaganya lagi–kerana bapanya dipenjara. Kita harus berhenti melihat penjara sebagai hukuman yang boleh selesaikan segala permasalahan. Masalah kemiskinan ruang di ibu kota sebenarnya sangat menggigit.
Kawasan-kawasan rumah flat (rumah tidak bertanah) adalah pemandangan biasa di ibu kota. Lihat sahaja di Pudu, Plaza Rakyat, mahupun Chow Kit, jika kita menaiki LRT atau Monorel. Di sini bukan kawasan seperti di kampung-kampung yang mempunyai banyak tanah untuk anak-anak berlari dan bermain. Jika jatuh ke atasnya–jalan bertar–anda akan luka atau berdarah.
Main bola tengah jalan
Rumput boleh mengurangkan kesan-kesan luka juga tiada. Segalanya ditar. Anak-anak tidak ada tempat bermain. Sesekali jika anda menziarahi Chow Kit, ghetto paling terkenal di Semenanjung Malaysia, anda akan melihat anak-anak bermain bola di tengah jalan. Atau biasanya di pinggir jalan, di tepi kedai makan laluan orang ramai atau di tepi 7-Eleven. Pemandangan sebegini pastinya janggal untuk anak-anak kampung yang biasanya mempunyai padang untuk bermain atau tanah untuk berlari. Di sini, kemiskinan bandar sangat real. Orang bandar sebenarnya ramai yang lebih miskin daripada orang kampung.
Bukan semua warga kota mampu tinggal di kondominium yang mempunyai kolam renang dan rumah yang luas kaki perseginya. Kerana rumah yang sangat sempit di ibu kota, anak-anak merasa begitu panas dan tidak tahan untuk berkongsi dengan adik-beradiknya. Ada juga bilik yang dikongsi anak-beranak kerana kesempitan ekonomi. Justeru mereka meninggalkan rumah untuk aktiviti rempit sebelum ini. Dan sekarang yang lebih muda dan belum mempunyai modal, menjadikan basikal lajak sebagai aktiviti malam.
Pusat beli belah semakin banyak didirikan. Sememangnya mall memberikan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat bawahan di ibu kota. Tetapi bagaimana pula dengan ruang ekspresi anak-anak? Di mana tempat untuk anak-anak muda atau remaja berekspresi? Adakah mereka hanya dibenarkan membaca buku, pergi sekolah dan balik sekolah? Adakah mereka robot yang tak berjiwa?
Puisi Widji Thukul, “Jalan”, mengesankan. Tulisnya:
gedung-gedung baru berdiri
arsitektur lama satu-satu hilang
dimakan pembangunan
jalan kiri kanan dilebarkan
becak-becak melompong di pinggiran.
Jalan-jalan raya memang semakin banyak dibina dan dilebarkan dari tahun ke tahun. Tetapi adakah ia selamat untuk mereka yang mahu berjalan kaki–pedesterian–dan menaiki basikal, sama ada ‘basikal tidak lajak’ atau basikal lajak?
Kawasan parkir dibina begitu banyak. Sesetengah tempat yang kaya seperti Damansara atau Petaling Jaya, bangunan bertingkat-tingkat disediakan untuk parkir sahaja. Tetapi ruang untuk anak-anak B40 tidak ada. Jadi di mana anak-anak B40, yang ibu bapanya sibuk berhempas pulas mencari nafkhah mahu bersosial dan berekspresi?
Kita tidak dapat menyalahkan guru-guru sekolah, kerana kerja mereka di sekolah juga sudah begitu banyak. Dan jika mereka berkahwin dan mempunyai anak, mereka juga mempunyai tanggungjawab sendiri untuk dikerjakan.
Kerajaan sepatutnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan ketika ini. Selain penambahan guru dan pembantu guru, pekerja-pekerja sosial yang berperanan sebagai pembimbing remaja di luar waktu sekolah juga harus difikirkan. Lambakan graduan di Malaysia harus diberikan pekerjaan. Dan mungkin ini boleh difikirkan. Graduan-graduan universiti harus ada pilihan pekerjaan lain selain dalam sektor ekonomi gig dan e-hailing.
Satu bandar satu pusat beli-belah
Walaupun pusat beli-belah semakin banyak didirikan, tidak ada ramai pengunjung. Perkara ini harus dihentikan serta-merta. Sesuatu bandar, kota atau taman harus cukup dengan satu atau maksimum dua pusat beli-belah sahaja sepatutnya. Bukan banyak pusat beli-belah yang mengambil begitu banyak ruang dibina, tetapi lengang. Pembinaan tempat lepak atau tempat bersosial anak muda yang terkawal harus diwujudkan.
Di tempat ini anak-anak B40 boleh bersosial sementara menunggu malam, menunggu ibu bapa mereka pulang. Pendeknya aktiviti berbahaya yang membahayakan nyawa dan membawa padah kepada orang lain harus dikekang. Aktiviti di sini tidak semestinya aktiviti berkaitan akademik dan peperiksaan sahaja. Apabila anak-anak muda dan remaja ini begitu aktif di siang hari, malamnya mereka pasti akan keletihan dan tidak akan keluar malam lagi.
Berhadapan dengan masalah parkir, suka atau tak, selagi masyarakat di bandar tidak digalakkan menaiki pengangkutan awam–LRT/MRT–selagi itulah kesesakan dan kawasan parkir yang memakan ruang akan terus dibina. Ruang akan semakin sempit apabila bandar yang sudah semakin sempit terus dibina parkir dan jalan untuk kenderaan peribadi, sedangkan sudah tersedia LRT dan MRT yang laju dan canggih.
Di negara-negara maju menjadi pemandangan biasa rakyat di sana memanfaatkan tren untuk kegiatan seharian. Kita bukanlah antikereta. Jika untuk jalan jauh, keluar dari bandar dan tempat yang tiada tren, elok digunakan kereta peribadi. Di bandar-bandar yang sememangnya sudah dipasang dengan tren yang menghubungkannya, mengapa tidak dimanfaatkan? Alangkah begitu membazirnya duit negara (baca: duit rakyat) apabila kawasan tren dibina begitu banyak di bandar-bandar, tetapi tidak digunakan.
Anak-anak dan remaja adalah penduduk dunia masa hadapan. Sesuatu yang serius harus difikirkan, baik ibu bapa mahupun kerajaan. Jangan sampai anak-anak yang 'perlu tanah' ini akan bergabung dan jadi mimpi buruk di masa hadapan.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.