Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Peguam yang mewakili Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah membuat laporan polis berhubung dokumen 'PASleak' yang mengandungi dakwaan campur tangan dalam proses kehakiman.

Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim mengesahkan laporan itu telah diterima.

Semalam, peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata anak guamnya "terkejut" dengan kandungan dokumen itu yang bertajuk "laporan penglibatan politik pimpinan PAS pusat".

Teh berkata dokumen itu merujuk kepada anak guamnya, yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah di Mahkamah Tinggi.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat siasat perkara ini secara terperinci. Ini akan mengesahkan sama ada terdapat percubaan untuk menjejaskan integriti sistem kehakiman," katanya.

Zahid kini dibicarakan atas tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dengan sebuah badan amal yang dikenali sebagai Yayasan Akalbudi.

Dokumen yang dikatakan bocor itu mengandungi dakwaan penemuan dua pemimpin PAS selepas mereka melawat pelbagai tokoh Umno, Bersatu dan Pejuang.

Salah seorang daripada dua tokoh PAS yang dinamakan dalam dokumen itu - Ahmad Samsuri Mokhtar, naib presiden PAS - telah menafikan kandungan dokumen itu dan menyifatkannya sebagai "sampah".

Bagaimanapun, Samsuri mengakui bahawa pertemuan yang dijelaskan dalam dokumen itu memang berlaku, tetapi ringkasan perbualan seperti yang didakwa menurutnya adalah rekaan.

Beberapa tokoh Umno seperti veteran Umno Shahrir Samad berkata dokumen yang dikatakan bocor itu, jika sahih, menunjukkan kemungkinan konspirasi untuk mempercepatkan kes mahkamah yang sedang berjalan terhadap Zahid dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak.

Shahrir sebelum ini berkata bahawa dokumen yang dikatakan bocor itu juga membabitkan pegawai perundangan dan kehakiman tertinggi.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kandungan dokumen yang dikatakan bocor itu.

Bagaimanapun, Malaysiakini telah cuba menghubungi setiap individu yang dinamakan dalam dokumen itu untuk mendapatkan penjelasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS