Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyelidik teruja respons positif PM mengenai ganja perubatan

Ahli psikiatri yang juga pakar merawat ketagihan dadah, Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid menyambut baik respons positif Perdana Menteri, Ismail Sabri mengenai dasar berkaitan ganja dan ketum perubatan.

Bagaimanapun, Dr Rusdi berharap respons positif yang ditunjukkan perdana menteri itu tidak hanya sekadar ‘di mulut’

"Kami para penyelidik merasa sangat teruja dan menyambut baik respons positif perdana menteri itu tetapi kalau boleh sokongan itu biarlah ada tindakan dan bukan setakat sokongan mulut, itu susah sikitlah," katanya kepada Malaysiakini.

Rusdi berkata demikian susulan pertemuan Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen bersama Ismail pada 12 April lalu.

Menurut kaukus berkenaan, Ismail dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu memberikan maklum balas positif terhadap cadangan berkaitan indutsri ketum dan ganja perubatan.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata apa yang diharapkan para penyelidik ketika ini adalah kerja-kerja penyelidikan ganja perubatan yang dilakukan mereka dipermudahkan.

"Sememangnya agak sukar untuk mendapatkan kebenaran melakukan penyelidikan oleh pihak berwajib seperti jawatan kuasa etika penyelidikan, NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) dan pihak berkuasa kawalan dadah.

“Ini kerana label dan stigma berkaitan ganja yang diletakkan di bawah Akta Dadah berbahaya 1952 sekian lama.

"Tanpa kebenaran pihak tersebut kami tidak dapat buat penyelidikan kerana boleh didakwa dan kemungkinan mendapat nasib yang sama seperti Dr Ganja, Lokman, dan lain-lain," katanya merujuk kepada beberapa kes mahkamah sebelum ini.

Menurut Rusdi, dengan adanya campur tangan daripada perdana menteri ia sedikit sebanyak menarik nafas lega buat para penyelidik.

"Kami para penyelidik ini kalau hendak buat kajian, perlu ikut prosedur, jadi susahlah dan memerlukan masa yang agak lama untuk pelepasan.

"Jadi, insya-Allah kalau perdana menteri boleh campur tangan bagi mempermudahkan kajian berkenaan ganja perubatan ini supaya dapat dipercepatkanlah.

“Tak boleh nak ikut prosuder sampai bertahun-tahun baru kita nak buat dan pasarkan kajian yang kita perolehi untuk kegunaan pesakit," katanya.

‘Bukan nak halalkan ganja sewenang-wenang’

Bagaimanapun, Rusdi mengingatkan semua pihak bahawa ia masih di peringkat penyelidikan dan bukan bermaksud menghalalkan penggunaan ganja sewenang-wenangnya.

"Perlu diingat, kita baru nak buat penyelidikan ganja dan bukannya nak halalkan ganja sewenang-wenangnya begitu sahaja.

"Jadi jangan ada sesetengah masyarakat cepat melatah yang kata kita akan benarkan penggunaan ganja secara bebas di dalam komuniti.

"Sekiranya hasil kajian adalah positif, produk ganja perubatan ini akan hanya boleh dipreskripsi oleh doktor untuk indikasi penyakit tertentu.

“Ini boleh menghalang penggunaan ganja perubatan buatan sendiri yang boleh membahayakan kerana tidak mengikut standard produk perubatan," jelasnya.

Setakat ini lebih 40 negara telah meluluskan penanaman, penggunaan dan penjualan hemp (ganja industri) atau ganja perubatan (medical marijuana) termasuk Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Argentina dan Denmark.

Pada 26 Disember 2018, Kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.

Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember tahun lalu "mengklasifikasikan semula kanabis sebagai "dadah yang kurang berbahaya."

Sidang CND ke-63 di Vienna, Austria bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Pun begitu, Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan pemilikan ganja dengan berat 200 gram boleh membawa hukuman mati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS