Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas beberapa penangguhan, mahkamah Singapura memutuskan tarikh pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran K Dharmalingam pada 27 April, kata peguamnya M Ravi.

Dalam hantaran di Linkedin, Ravi menyifatkan perkembangan itu sebagai "menyayat hati", mendakwa bahawa Singapura tidak akan pulih daripada "aib" antarabangsa yang akan dihadapinya kerana menggantung seseorang yang kurang upaya intelek.

“Baru menerima berita menyayat hati bahawa Nagenthren akan dihukum gantung pada Rabu depan.

“[...] Segala-galanya dari awal adalah salah mengenai kes ini. Malah pakar psikiatri kerajaan pada perbicaraan itu mengakui Nagaenthren mengalami fikiran yang tidak normal.

“Saya akan mengatakan bahawa semua rakyat Singapura akan mempunyai darah di tangan mereka Rabu depan kerana hukuman mati dilakukan atas nama mereka. Anda mempunyai kewajipan untuk menghentikan perkara ini,” katanya.

Mahkamah Singapura menolak rayuan terhadap hukuman mati Nagaenthren pada Mac, menolak hujah yang dikemukakan oleh pasukan peguamnya bahawa dia harus dikecualikan kerana dia kurang upaya secara mental.

Nagaenthran Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati selama lebih sedekad kerana mengedar kira-kira 42.7g heroin ke Singapura, negara yang mempunyai antara undang-undang narkotik yang paling keras di dunia.

Peguamnya berkata dia mengalami kecacatan intelek ringan kerana IQnya yang lebih rendah daripada purata iaitu 69.

Nagaenthran dijadualkan digantung pada 10 Nov 2021 tetapi diberikan penangguhan pelaksanaan pada 8 Nov selepas peguam Singapura M Ravi memfailkan cabaran perlembagaan pada saat akhir.

Walaupun Mahkamah Tinggi menolak cabaran itu, ia membenarkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu sepatutnya didengar pada November 2021 tetapi ditangguhkan ke Mac apabila Nagaentran disahkan positif Covid-19 pada 9 Nov.

Kes Nagaenthran telah mendapat perhatian penting daripada media antarabangsa, dengan perhatian khusus terhadap langkah Singapura untuk menghukum mati seseorang yang kurang upaya intelek.

Salah seorang peguamnya, N Surendran, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka akan menulis secara rasmi kepada Peguam Negara Singapura, menyeru agar pelaksanaan hukuman dihentikan serta pendengaran semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS