Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan elektrik hospital KK: 28 pembedahan bukan kecemasan ditunda

Gangguan bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu sejak semalam menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan yang dijadualkan hari ini ditunda ke tarikh lain, kata Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin.

Dr Rose Nani berkata perkhidmatan dewan bedah di HQE terpaksa ditutup pada hari ini dan esok untuk memastikan bekalan elektrik ke wad dan unit rawatan rapi sentiasa mencukupi serta stabil, manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan pula akan dilakukan di HQE II.

“Pada masa ini syarikat konsesi masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Rose Nani berkata gangguan bekalan elektrik itu terjadi pada 11.54 pagi semalam di HQE melibatkan melibatkan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan lama perubatan HQE.

“Sepanjang gangguan bekalan, dua ‘set generator’ di HQE menampung bekalan elektrik bagi bangunan terlibat. Pihak hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta syarikat konsesi telah melakukan tindakan segera mendapatkan generator tambahan sebagai sokongan,” katanya.

Dia berkata bagi memastikan perkhidmatan perubatan HQE tidak terjejas, pelan kontigensi telah dilaksanakan dengan memindahkan sebahagian pesakit lebih memerlukan, dan kes memerlukan pembedahan kecemasan ke HQE II.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS