Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kekeliruan isu membela orang dituduh di mahkamah

ULASAN | Hangat isu berkaitan peguam yang membela pihak yang dikatakan melakukan kesalahan. Netizen, beberapa tokoh agama, ustaz dan ustazah serta mufti mengeluarkan kenyataan bahawa "berdosa" untuk seseorang peguam membela pihak diketahui bersalah.

Bayaran yang diterima untuk perkhidmatan yang diberikan pula dianggap sebagai rezeki yang haram, malah lebih buruk daripada hasil pelacuran.

Dakwaan itu timbul mungkin disebabkan kita membaca dan mentafsirkan beberapa firman Allah SWT dalam al-Quran secara literal.

Contoh firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 113 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah SWT. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan bahawa haram bagi sesiapa pun bersubahat dengan orang yang zalim. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 270 yang bermaksud: “Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah SWT mengetahuinya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.”

Sementara itu, dalam ayat lain, Allah memerintahkan keadilan yang menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan tanpa memilih bangsa, agama, warna kulit, bahasa, budaya dan sebagainya.

Seseorang itu dibenarkan mempertahankan haknya daripada dirampas atau dicabul oleh orang lain. Firman Allah dalam Surah al-Hadid ayat 25 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahan agama Allah serta menolong rasul-rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.”

Perlu analisis lanjut

Sememangnya Allah memerintahkan agar manusia menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Allah melarang kita daripada membantu atau membela orang yang zalim dalam melakukan kezaliman. Allah melarang manusia daripada menolong orang yang zalim, bersimpati, bersekongkol, bersepakat apatah lagi untuk membela dan mempertahankan mereka.

Sikap Islam terhadap golongan yang membela dan mempertahankan kezaliman dianggap perbuatan berdosa dan juga merupakan satu kezaliman.

Persoalannya, adakah tindakan seseorang peguam membela anak guamnya dalam perbicaraan bererti dia telah membela kezaliman dan bersekongkol dengan orang yang zalim? Dan jika seseorang disabitkan bersalah tetapi peguam membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi agar hukuman diringankan, dikaji semula atau diketepikan, adakah bantuan peguam terbabit juga dianggap bersekongkol dan bersubahat dengan orang-orang yang zalim?

Persoalan tersebut perlu dianalisis dengan lebih lanjut dan dikaji dari pelbagai sudut. Dakwaan ini mungkin ditimbulkan oleh orang yang tahu mengenai hukum-hakam Islam, tetapi mereka tidak terlatih atau terdedah mengenai kaedah mentadbir undang-undang Islam.

Jika terlatih dari segi undang-undang Islam tentu dia akan berkata: “Seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan yang dia bersalah.” Tugas peguam ialah membantu mahkamah agar menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Peranan inilah yang dimainkan oleh Sayidina Ali RA dalam kes seorang wanita yang mengaku melakukan zina sedangkan perbuatan tersebut berlaku tanpa kerelaannya.

Begitu juga dalam Ali membela seorang lelaki yang dituduh mencabul seorang perempuan, sedangkan perempuan itu sengaja mengada-adakan cerita dengan meletakkan putih telur pada kainnya.

Ka’ab bin Thur al-Azdi pula membantu Khalifah Umar al-Khattab RA memahami aduan yang dibuat oleh seorang isteri yang suaminya gagal memberikan layanan batin terhadapnya.

Adakah tindakan para sahabat itu boleh dianggap zalim dan bersekongkol atau bersubahat dengan kezaliman?

Inilah perkara yang perlu difahami oleh pihak-pihak yang membuat tuduhan tersebut, iaitu tugas dan peranan wakil ialah membantu mahkamah agar menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Salah satu cara guaman dalam Islam ialah shafa’ah atau permohonan belas kasihan dengan tujuan membatalkan hukuman yang telah dijatuhkan. Cara ini adalah diharuskan oleh Islam.

Dalam kisah Ali membela wanita yang mengaku di hadapan Khalifah Umar bahawa dia telah berzina - dan hampir dihukum - pembelaan tersebut menyebabkan khalifah membetulkan keputusannya dan membebaskan wanita tersebut.

Sekiranya pada hakikat sebenar anak guam yang diwakili itu benar-benar bersalah, bukanlah menjadi kesalahan jika peguam mewakilinya tanpa mengetahui perkara sebenar.

Perlu ditentukan mahkamah

Sebaliknya jika diyakini bahawa anak guam itu benar-benar bersalah, maka peguam tidak harus menjalankan pembelaan terhadap anak guam atau cuba memutarbelitkan fakta.

Ulama fiqh memberikan panduan bahawa wakil (peguam) hendaklah yakin bahawa anak guamnya benar, dan dia tidak harus mempertahankan jika tidak tahu keadaan sebenar anak guam.

Selalu juga berlaku kekhuatiran dalam kalangan peguam untuk mewakili kes-kes jenayah syariah, kerana bimbang mereka dikatakan bersubahat dengan tertuduh.

Harus diingat, dalam kes jenayah, pihak pendakwaan perlu membuktikan kes prima facie terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, kehendak undang-undang perlu dipatuhi sebelum mana-mana tertuduh dipanggil untuk membela diri.

Elemen atau faktor yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘rukun’ dalam pendakwaan dan fakta tangkapan ialah isu undang-undang yang perlu ditentukan oleh mahkamah setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwa.

Maka, seorang peguam perlu berpegang kepada pendekatan atau kaedah bahawa “asal setiap manusia adalah bebas daripada sebarang tanggungan" sehinggalah dia dibuktikan sebaliknya.

Maksud tanggungan di sini ialah tanggungan terhadap hak orang lain sama ada membabitkan harta, hutang, kesalahan jenayah atau sebagainya.

Dr Abdul Karim Zaidan menjelaskan, antara cabang kaedah ini, seseorang tertuduh masih dianggap bebas hinggalah terbukti perlakuan jenayahnya. Kerana itu, terdapat ungkapan yang masyhur: “Apabila berlaku keraguan (dalam tuduhan), ia akan ditafsirkan untuk kepentingan tertuduh, kerana pada asalnya tertuduh adalah bebas daripada sebarang perlakuan jenayah dan juga hukuman yang terbit akibat daripada jenayah itu. Apabila tidak terbukti jenayah itu, maka sebarang keraguan tidak terpakai untuk mensabitkan perlakuan jenayahnya, maka keraguan tersebut ditafsir untuk kepentingan tertuduh iaitu pembebasannya (daripada tuduhan).”

Perwakilan terhadap orang yang dituduh melakukan kesalahan tidak dilarang kerana ia membantu mahkamah dari segi pendedahan fakta, keterangan atau kenyataan yang berkaitan.

Yang dilarang ialah cuba membuktikan orang yang bersalah kepada tidak bersalah dengan mengubah suai fakta.

Ukur melalui pengetahuan

Pada masa sama, seorang peguam perlulah mempunyai akhlak mulia yang dituntut Islam seperti bermoral, bertanggungjawab serta jujur dalam tugas mereka menurut lunas agama.

Peguam perlu menilai dirinya, niat dan tujuannya. Peguam hendaklah melaksanakan tugas dan peranannya dengan ikhlas, jujur dan dengan niat melakukan ibadah kerana tugas itu adalah tugas mulia dan pernah dilakukan oleh para sahabat.

Peguam perlu menerangkan fakta-fakta dengan betul tanpa memikirkan keuntungan semata-mata dengan mengetepikan etika guaman Islam. Peguam juga tidak boleh menjadikan dirinya sebagai alat penipuan.

Saya amat bersetuju bahawa kebenaran dan kesalahan diukur dengan pengetahuan seseorang mengenai hakikat sesuatu perkara yang dibela tersebut.

Jika dia percaya itulah yang benar berdasarkan keilmuannya yang mencukupi pada keyakinannya, maka pembelaan itu menjadi pahala untuknya. Sekalipun kemungkinan pada ijtihad orang lain pendapat itu salah.

Kita semua adalah hamba. Kita bukan Tuhan. Sebagai hamba, tanggungjawab kita mengabdikan diri kepada Allah, bukan melabelkan seseorang itu salah atau betul.

Bukan tugas hamba untuk menghukun seseorang itu bersalah dan berdosa.


MUSA AWANG ialah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS