Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kesediaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menurunkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak melegakan banyak pihak, terutama mereka yang bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

Pun begitu, rata-rata penumpang yang ditemubual Malaysiakini berpendapat isu kenaikan harga tiket penerbangan setiap kali musim perayaan bukan isu baru.

Salah seorang penumpang, Hasnizzie Ahmad Amin, berkata dia membeli tiket penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada Mac lalu kerana telah menjangka akan berlaku kenaikan harga.

Kata Hasnizzie, dia percaya tindakan menaikkan harga tiket pesawat menjelang sambutan perayaan merupakan strategi bagi syarikat penerbangan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Namun katanya, apabila syarikat penerbangan bersetuju menurunkan harga tiket penerbangan, ia menunjukkan mereka sebenarnya mampu berbuat demikian.

“Tindakan syarikat-syarikat ni menurunkan harga tiket dengan kadar segera memang wajar.

“Tapi secara tidak langsung kita boleh lihat, sebenarnya syarikat-syarikat ni boleh sahaja menurunkan harga tiket tanpa ada isu besar," katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Fadhli Mohd Sulaiman, 26, pula berkata dia membeli tiket penerbangan sehala untuk pulang ke kampung halamannya di Semporna, Sabah pada harga lebih RM700 sebelum penurunan harga diumumkan.

Menurut Mohd Fadhli, kadar itu merupakan harga tiket bagi kelas bisnes sekiranya ditawarkan bukan pada musim perayaan.

“Kalaulah boleh diputarkan masa, saya tidak akan membeli tiket lebih awal (kerana mahal), dan tunggu saja tiket kembali turun.

“Tapi kita tak tahu bila masa harga tiket akan turun sehinggalah orang ramai mendesak untuk harganya diturunkan,” katanya.

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga tiket yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala.

Kenaikan itu merupakan peningkatan kira-kira 566 peratus berbanding harga sekitar RM300 bagi perjalanan sama.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenaikan mendadak itu sebagai melampau sambil memberi peringatan kepada syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan.

Semalam, Kementerian Pengangkutan melalui Ketua Setiausahanya Isham Ishak berkata Lebih 30 peratus harga tiket pesawat telah diturunkan susulan kesediaan Mavcom untuk berbuat demikian.

Tak banyak beza

Muhammad Khayyum Hassan pula berpendapat penurunan harga tiket pesawat tidak banyak berbeza berbanding harga yang ditawarkan sebelum ini.

Muhammad yang baru saja bekerja di Kuala Lumpur berkata dia telah membeli tiket pesawat pada awal April lalu untuk pulang ke Tawau pada harga lebih RM600 bagi penerbangan sehala.

Muhammad Khayyum

“Bila saya tengok balik penurunan harga, tak ada beza banyak, masih mahal macam tak ada penurunan saja.

“Tapi kalau pun ada penurunan syukurlah.

“Kita sedia maklum dengan keadaan negara dan ekonomi yang terjejas disebabkan virus Covid-19.

“Ramai orang tak dapat balik raya bersama keluarga. Jadi, bila sekarang ada kelonggaran, orang ramai memang nak sangat balik kampung,” katanya yang bekerja di sektor perkhidmatan pelanggan.

Sementara itu bagi Siti Maisara Idris, dia berasa lega kerana kerajaan campur tangan dalam isu itu.

Siti Maisara berkata, sebelum ini dia hampir-hampir membatalkan niat untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah disebabkan kenaikan harga tiket pesawat.

“Kalau harga tak berubah, mungkin saya akan balik lepas raya.

“Nasib baiklah harga tiket diturunkan. Bersyukur sangat sebab saya memang teringin nak balik berjumpa keluarga selepas bertahun raya di KL saja,” ujarnya.

Kata Siti Maisara, kerajaan memang perlu bertindak pantas dalam isu tersebut kerana harga tiket penerbangan pada musim perayaan sering kali tidak masuk akal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS