Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: EPemula patut beri manfaat pada pelajar, bukan penyedia e-dompet
Diterbitkan:  Apr 19, 2022 4:40 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi menggesa Kementerian Kewangan memastikan program pemberian kredit e-tunai atau ePemula boleh memberi manfaat kepada pelajar dan bukannya penyedia perkhidmatan e-dompet.

Ini selepas pelajar mengadu kredit sebanyak RM150 yang dimasukkan menerusi e-dompet tidak boleh digunakan untuk membeli barang secara dalam talian.

“Walaupun kami menghargai keputusan kerajaan meneruskan dasar Pakatan Harapan untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai, kerajaan mesti memastikan pelajar benar-benar mendapat manfaat daripada program ini.

“Kerajaan harus memastikan RM300 juta diterima dan dibelanjakan sepenuhnya oleh pihak yang menerima untuk memanfaatkan keperluan mereka dan meningkatkan ekonomi tempatan,” kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata adalah tidak munasabah pemberian e-tunai berkenaan tidak boleh dibelanjakan dalam talian memandangkan trend membeli secara dalam talian di kalangan pelajar.

Bukan itu sahaja, katanya sesetengah pelajar mungkin tidak dapat membelanjakan wang dalam e-dompet kerana tiada kedai yang menerima khidmat e-pembayaran di kawasan mereka.

Wong juga merujuk kepada aduan mengenai keputusan penyedia platform e-dompet membahagikan RM150 itu kepada beberapa baucar yang lebih kecil.

Walaupun penyedia platform e-dompet mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian, dia berkata hal ini amat menyusahkan pelajar, yang mungkin tidak dapat membelanjakan wang untuk membeli keperluan mereka.

Bahkan katanya mereka mungkin tidak dapat membelanjakan wang yang diberikan, sekali gus membazirkan bantuan.

Dia juga mempersoalkan sama ada semua penyedia platform e-dompet menerima RM150 selepas pihak yang menuntut mendaftarkan diri mereka, atau apakah Kementerian Kewangan membuat pembayaran berdasarkan jumlah yang dibelanjakan oleh pihak menuntut.

“Lebih penting lagi, adakah Kementerian Kewangan akan menerima platform e-dompet yang memberikan kredit dalam baucar RM5 atau RM1 pada masa hadapan?” soalnya.

Program ePemula diumumkan dalam Bajet 2022 dan bertujuan menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai oleh golongan belia.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan bermula pada 11 April dan akan berakhir pada 1 Jun 2022.

Kredit e-tunai tersebut mesti dibelanjakan selewat-lewatnya pada 10 Jun 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS