mk-logo
Berita
Pahang batal kelulusan 33 syarikat gagal projek tanam semula hutan
Diterbitkan:  Apr 19, 2022 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Kerajaan Pahang membatalkan kelulusan untuk 23,872 hektar ladang hutan di negeri itu pada Julai lalu selepas kontraktor gagal mencapai kemajuan dalam skim penanaman semula.

Kerajaan negeri pada satu kenyataan berkata skim tanam semula di negeri ini melibatkan 100,000 hektar tanah hutan dan kerajaan negeri sentiasa memantau prestasi projek ladang hutan berkenaan.

Kira-kira 28 peratus daripada 100,000 hektar hutan telah ditanam semula, kata kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri Pahang sentiasa memantau prestasi projek ladang hutan yang diusahakan.

"Pada tahun 2021, kerajaan negeri telah membatalkan kelulusan sediada penubuhan ladang hutan yang tidak aktif di beberapa kawasan.

"Sebanyak 33 syarikat yang tidak aktif dengan keluasan 23,872.03 hektar telah dibatalkan kelulusan.

"Manakala 16 syarikat memohon untuk pertimbangan semula keluasan dengan keluasan 12,005.18 hektar. Manakala, baki kawasan yang dibatalkan adalah seluas 11,866.85 hektar.

"Pembatalan ini disebabkan kegagalan syarikat di dalam memajukan kawasan berkenaan dan kawasan ini akan dijalankan aktiviti penanaman semula dengan syarikat swasta yang berminat di dalam program Penghutanan Semula kawasan terosot di negeri ini," kata kerajaan negeri pada satu kenyataan semalam.

Pahang dikritik selepas laman berita alam sekitar Macaranga bulan lalu melaporkan "hanya lima peratus daripada 77,331 hektar hutan simpan yang dibersihkan di Pahang untuk ladang hutan dari 2012 hingga 2020 telah ditanam semula."

Pada 8 April lalu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mendedahkan sejumlah 23,000 hektar ladang hutan telah dikeluarkan daripada skim ladang itu. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan penjelasan mengenai pembatalan skim itu.

Jumaat lalu, portal berita alam sekitar yang berpangkalan di AS, Mongabay pula memetik Adun Semambu PKR Lee Chean Chung yang melabel program itu 'melindungi' kegiatan pembalakan.

Namun, kerajaan negeri menjelaskan semua kelulusan projek ladang hutan memerlukan kajian dan kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu sebelum sesuatu ladang hutan boleh dilaksanakan.

"Sehingga kini, kerajaan Pahang telah memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat swasta bagi Projek penghutanan Semula seluas 50,000 hektar yang melibatkan Hutan Simpan Lesong, Hutan Simpan Kemasul, Hutan Simpan Lepar dan Hutan Simpan Tekai Tembeling," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS