Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: MB K'tan nak dengar fakta atau ulang 'auta' terhadap TH?
Diterbitkan:  Apr 19, 2022 5:45 AM
Dikemaskini: 9:45 PM

Bekas menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof menyoal tindakan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang dikatakan cuba memfitnah mengenai kedudukan Tabung Haji ketika pemerintahan PH.

"Segala yang dinikmati hari ini adalah hasil kejayaan penstrukturan semula zaman PH.

"Soalan saya kepada menteri Melayu-Islam nak dengar fakta atau nak ulang fitnah terhadap TH," katanya pada satu kenyataan, semalam.

Terdahulu Ahmad berucap dalam program Ihya' Ramadan bersama anak perantau Kelantan di Lembah Klang.

Dia menyentuh pentingnya mewujudkan suasana aman kerana selama 22 bulan pemerintahan PH kepentingan umat Islam mula terjejas.

"Apabila orang lain yang tidak Islam mendapat kuasa maka kepentingan umat Islam mula terjejas.

"Contohnya Tabung Haji, tuan-puan semua tahu tak payah saya cerita. Bagaimana Tabung Haji merupakan milik 100 peratus orang Islam tetapi setelah bertukarnya kerajaan dalam masa 22 bulan semua orang tahu, amat perit," katanya yang juga Adun Pasir Pekan.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Sementara itu, Mujahid yang juga naibb presiden Amanah menegaskan bahawa fakta menunjukkan ketika zaman PH berjaya memulihkan Tabung Haji.

Katanya, penstrukturan semula berjaya mengimbangkan defisit antara aset dan liabiliti Tabung Haji.

Selain itu, menurut Mujahid pentadbiran PH berjaya patuh Seksyen 22, Akta Tabung Haji mengenai pengagihan hibah yang sejak 2014 ketika tidak dipatuhi pemerintahan BN.

"Berjaya patuh piawaian pelaporan kewangan Malaysia (MFRS) dan piawaian pelaporan kewangan antarabangsa (IFRS) yang merupakan syarat perakaunan bersih yang tidak dipatuhi dalam akaun 2017 zaman BN.

"Pencarum bertambah dan aset lebih tinggi dari tanggungan menandakan kesihatan Tabung Haji dari sudut kewangan.

"Kelestarian Tabung Haji dipacu oleh penstrukturan semula "strategic asset re-location" dan perbelanjaan berkesan pentadbiran untuk kekal unggul dan kukuh menghadap tahun mendatang yang mencabar," tambahnya.

Ahli parlimen Parit Buntar itu berkata pendeposit mempercayai usaha yang dilakukan zaman PH kerana tidak berlaku 'bank run' atau panik walaupun terpaksa memberikan hibah rendah tahun pertama pemulihan pada 2018.

"Menteri besar Kelantan perlu rajin membaca sikit semua laporan audit dari tahun 2018 hingga 2020 dan akan mendapati laporan sebagai bersih, patuh dan menggambarkan kedudukan sebenar (bukan manipulasi)," tegasnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS