Seorang pemain industri perkapalan menyangkal kenyataan Jabatan Imigresen dalam insiden seorang ketua jurutera China ditahan lebih lapan jam sebagai tidak tepat.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Jeyenderan Ramasamy berkata bahawa kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengelirukan.
"Saya menyambut baik dan berterima kepada ketua pengarah imigresen kerana sudi membuat kenyataan berhubung insiden tersebut.
"Namun, saya ingin memberitahu bahawa kenyataan daripadanya tidak tepat," katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Jeyendran menafikan bahawa warga China itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Imigresen kata dia tidak memiliki tiket penerbangan pulang dalam masa 30 hari dan tidak memuat naik keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen Covid-19 dalam MySejahtera. Itu tidak benar.
"Sebenarnya, setelah anak kapal itu sign off dari kapal, kami telah memberitahu pihak imigresen bahawa tiket penerbangan paling awal untuk pulang ke China adalah pada 25 Mei. Jadi, kami meminta pas khas sehingga itu. Namun, imigresen pada awalnya hanya membenarkan tiga hari sahaja.
"Bagaimana kami nak terima pas khas tiga hari sedangkan penerbangan paling awal pada 25 Mei," soalnya.
"Sebagai, jabatan yang mengawal pintu masuk negara, imigresen sepatutnya lebih peka dengan soal penerbangan. Bukan, salahkan kami," katanya.
Laporan pada 15 April lalu mendakwa Jabatan Imigresen di Pelabuhan Port Klang telah menahan seorang jurutera warga China selama lebih lapan jam, walaupun dikatakan dia memiliki segala dokumen diperlukan.
Akhirnya, dia diberikan pas khas 30 hari selepas perbincangan lebih lapan jam.
Bagaimanapun, ketua pengarah imigresen itu menafikan warga China itu ditahan.
Sebaliknya, kata Khairul urusan untuk memberikan Pas Khas kepada lelaki tersebut tidak dapat diteruskan kerana dia gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Jeyendran berkata syarat memuat naik keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen Covid-19 dalam MySejahtera sebagai tidak masuk akal.
"Selepas membuat ujian RTK, ketua jurutera memberikan salinan keputusan ujian RTK. Tapi, Imigresen enggan menerima, kenapa? Salinan ujian RTK yang dibuat Pelabuhan Port Klang itu oleh doktor dari Malaysia," katanya.
Tambahnya, keputusan ujian RTK kebiasaannya memuat naik di MySejahtera dalam masa 24 jam.
"Ini adalah tanggungjawab KKM memuatnaik ujian RTK dalam sistem MySejahtera. Jadi, imigresen perlu bincang dengan KKM untuk mempercepatkan proses muat naik itu.
"Ini yang Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong tekankan sebelum ini bahawa semua pihak kerajaan perlu kerjasama untuk mengelakkan kekeliruan.
"Saya harap Imigresen selepas ini memperkenalkan SOP baru merangkumi semua pihak untuk memudahkan proses mendapat visa dan penerbangan," katanya.