Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH akan pastikan MOU kekal sampai Julai - Anwar

Pakatan Harapan akan memastikan memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan pusat dikekalkan sehingga sekurang-kurangnya 31 Julai ini, kata Anwar Ibrahim.

PH juga bersedia untuk berbincang dengan Putrajaya jika terdapat sebarang hasrat untuk meneruskan kerjasama lanjut, menurut pengerusi gabungan pembangkang itu.

Anwar juga memberitahu Umno bahawa mereka perlu menerima bahawa MOU itu perjanjian antara PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bukannya dengan parti itu.

"Perundingan itu dengan perdana menteri dan pasukan dia.

"Umno boleh bagi pendapat dia. Cuma Umno dengan 40 kerusi BN itu, dia anggap dia sebagai (parti) pemerintah dia tentukan semua.

"Saya nak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita perlu lihat kekuatan kita dan harus terima kenyataan bahawa rundingan itu antara PH dengan PM," katanya.

Anwar menjawab keputusan pimpinan tertinggi Umno bahawa MOU antara kerajaan persekutuan pimpinan BN dan PH tidak akan dilanjutkan lagi selepas Julai ini.

Melalui MOU itu, Putrajaya berjanji tidak akan membubarkan parlimen sehingga sekurang-kurangnya 31 Julai 2022, supaya masa mencukupi bagi melaksanakan pelbagai pembaharuan yang diminta oleh PH.

Sebagai pertukarannya, pembangkang tidak akan menghalang agenda utama kerajaan.

Menurut Fasal 2.1 MOU, perjanjian itu akan berlangsung sehingga pembubaran parlimen.

Susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno, Ismail Sabri berkata dia akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti supaya MOU itu tamat pada 31 Julai ini.

Sementara itu, Anwar berkata walaupun tanpa MOU, ia tidak semestinya bermakna akan mencetuskan pilihan raya umum.

"MOU saya jelaskan, kita akan pastikan sehingga akhir Julai dan berunding kalau ingin diteruskan

"Belum pasti kalau dengan tidak adanya itu akan ada pilihan raya. Ini terpulang pendirian parti kerajaan dengan parti pembangkang, apakah keutamaan kita," katanya lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS