Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP kecam keganasan Israel terhadap rakyat Palestin
Diterbitkan:  Apr 18, 2022 12:42 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

DAP mengecam pencerobohan dan keganasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa, kata jurucakap hal ehwal antarabangsanya Kasthuri Patto.

“DAP mengecam segala bentuk pencerobohan dan keganasan oleh rejim Israel ke atas rakyat Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa dan menggesa agar konflik ini diselesaikan dengan usaha perdamaian, keamanan, dan diplomasi antara rakyat dan negara-negara yang terperangkap dalam suasana yang tertekan dan pergolakan selama berdekad,” katanya.

Pertempuran di Baitulmaqdis yang mencetuskan ketegangan ketika umat Islam berpuasa di bulan Ramadan berlarutan sehingga Ahad, menyaksikan 18 tangkapan dan menambah tekanan kepada kerajaan gabungan Israel.

Menurut Kasthuri yang juga ahli parlimen Batu Kawan, kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku ketika dunia mempunyai ruang dan platform diplomasi, keamanan dan perdamaian secara matang dan "menang-menang".

"Sama ada penganut Kristian, Islam atau Yahudi, anggota penguatkuasaan, badan pentadbiran dan pihak kerajaan harus bertanggungjawab keatas setiap satu nyawa yang terkorban dalam pergolakan ini.

"Konflik Israel - Palestin tidak seharusnya bersifat ‘balas dendam’, sama ada di bulan Ramadan yang mulia ini mahupun pada Prapaskah atau semasa sambutan Passover," katanya.

Jelas Kasthuri, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang seperti ini mesti dikecam, dikutuk dan ditolak oleh semua pemimpin serta dihentikan dengan serta-merta.

DAP menggesa negara terlibat mengadakan perundingan damai serta memberikan komitmen supaya peristiwa hitam dan serangan seperti ini tidak akan berlaku lagi.

Malaysia sebagai anggota di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula digesa berusaha untuk menjadi pendamai dalam konflik dan peperangan yang berlarutan sejak sekian lama ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS